SEPANG: Hanya 23 orang sukarelawan Malaysia kekal meneruskan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla berbanding 34 orang sebelum ini.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, susulan kerosakan beberapa buah bot flotila, proses penstrukturan semula peranan telah dilaksanakan pada 28 September lalu melibatkan tujuh orang delegasi Malaysia dan satu delegasi Brunei.
“Enam sukarelawan termasuk seorang warga Brunei akan diterbangkan dari Greece untuk pulang ke Malaysia bagi membantu dan menyambung tugas di SNCC,” katanya ketika sidang akhbar hari ke-31 Misi Kemanusiaan GSF di Sepang, hari ini.
Lima sukarelawan Malaysia itu adalah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein dan Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid, manakala, seorang lagi sukarelawan Brunei ialah Rezahmaisalamah Md Yusof.
Sementara itu, dua orang delegasi Malaysia dihantar ke Amman, Jordan bagi membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad.
Selain itu, beliau memaklumkan, kapal pemerhati tidak akan memasuki Zon Merah seperti yang dirancangkan termasuk kapal Shireen dari Tunisia dan Summertime-Jong dari Itali.
Sebelum ini, misi kemanusiaan GSF disertai sebanyak 45 buah negara dan 34 sukarelawan rakyat Malaysia bagi menghantar bekalan bantuan ke Gaza dan menghentikan kebuluran. – UTUSAN