201 daripada 497 peserta ditahan tentera Israel

201 daripada 497 peserta ditahan tentera Israel

AHMAD Sani Araby Al-Kahery menunjukkan 17 rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel di Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC) Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 201 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) daripada 497 peserta termasuk 12 rakyat Malaysia telah ditahan tentera Israel setakat tengah hari tadi.

Perkara itu disahkan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dalam sidang akhbar di sini sekitar pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, delegasi Malaysia yang ditahan itu terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita.

Beliau berkata, dua rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi selepas serangan dilancarkan ke atas kapal yang mereka naiki, masing-masing Mikeno dan Inana.

“Mereka ialah Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) dan Razali Awang.

“Sementara itu, baki sembilan lagi delegasi Malaysia dilaporkan masih selamat dan belum dipintas oleh tentera rejim Israel. Mereka kini berada di atas kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella yang meneruskan pelayaran ke Gaza.

“Kapal Free Willy dinaiki Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs) dan Taufiq Mohd Razif manakala, kapal Estrella dinaiki Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak dan Mohd Asmawi Mukhtar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kapal Fair Lady pula dinaiki Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik) dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA).

Jelasnya lagi, sebuah kapal turut diarahkan oleh tentera Israel untuk tidak meneruskan pelayaran ke Gaza, namun kapal-kapal lain dilaporkan masih berusaha melengkapkan misi bantuan kemanusiaan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN