SEREMBAN: Lebih 20,000 orang dijangka m embanjiri pekarangan Muzium Negeri di sini bagimemeriahkan Perpatih Fest 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, pelbagai program dan aktiviti menanti para pengunjung festival itu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).
Beliau berkata, sebanyak 13 reruai (booth) pameran akan melibatkan jabatan dan agensi kerajaan manakala 16 reruai khas untuk luak–luak di negeri ini serta masyarakat Orang Asli, India dan Cina.
“Acara Perpatih Fest kali ini merupakan program yang luar biasa kerana akan mencipta rekod baharu iaitu Penganjuran Festival Adat Perpatih Paling Lama yang mana ia telah bermula sejak tahun 2000 dan tahun ini telah memasuki 25 tahun penganjurannya.
“Saya menyeru agar para pengunjung datang beramai-ramai memeriahkan Perpatih Fest dan mengambil peluang melawat Muzium Negeri yang turut menawarkan pelbagai aktiviti seperti jualan Rahmah Madani dan cabutan bertuah,” katanya pada sidang akhbar di Muzium Negeri di sini hari ini.
Mohd. Faizal memberitahu, sebanyak 15 khemah disediakan untuk jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS) pengusaha tempatan.
“Sementara itu, sebanyak 13 luak dalam Negeri Sembilan akan berkampung selama tiga hari di lokasi festival untuk memperkenalkan keunikan Adat Perpatih kepada orang ramai.
“Aktiviti yang akan diadakan di reruai pameran adalah demonstrasi masakan serta adat dan budaya setiap luak dan masyarakat tersebut. Disamping itu, segala persoalan mengenai Adat Perpatih boleh diperbincangkan di khemah tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, Malam Gala Perpatih anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, negeri yang menampilkan persembahan artis seperti Ameng, Amelina dan Roger akan berlangsung pada pukul 9 malam, Sabtu ini.
Beliau berkata, antara program baharu yang diperkenalkan tahun ini ialah Google Submit Tech bertujuan mengetengahkan teknologi digital di samping mempromosikan budaya warisan dalam bentuk teknologi moden dan karnival masakan rentas negeri dan reruai antarabangsa.-UTUSAN









