20 kali gangguan Aerotrain, MAHB tuntut tindakan segera kontraktor

20 kali gangguan Aerotrain, MAHB tuntut tindakan segera kontraktor

AEROTRAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menuntut tindakan pembetulan segera daripada kontraktor terlibat iaitu Alstom dengan usaha sama IJMC-PESTECH (IPJV) susulan gangguan perkhidmatan melebihi 20 kali sejak dilancarkan 1 Julai lalu.

MAHB dalam kenyataan berkata, penilaian awal dijalankan pihaknya menunjukkan terdapat penurunan dalam tahap kebolehpercayaan sistem, terutamanya melibatkan kenderaan dan sistem pengagihan kuasa.

“Walaupun data serta jaminan telah diberikan oleh kontraktor, maklumat yang diterima masih belum cukup meyakinkan terhadap tahap kebolehpercayaan sistem Aerotrain pada masa ini,” katanya hari ini.

Susulan kejadian itu, MAHB turut membuat keputusan melaksanakan satu pelan tindakan menyeluruh yang akan diketuai oleh Pasukan Projek Malaysia Airports dengan penglibatan penuh kontraktor, perunding projek serta dengan kerjasama penilai teknikal bebas.

“Pelan menyeluruh itu kini sedang dibangunkan dengan penglibatan aktif semua pihak berkaitan.

“MAHB akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menangani serta menyelesaikan isu ini,” katanya.

MAHB berkata, sebagai langkah segera, perkhidmatan bas ulang-alik penuh akan disediakan pada waktu luar puncak antara pukul 11 malam hingga 5 pagi setiap hari bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan dijalankan.

“Selain itu, dari pukul 5 pagi hingga 11 malam setiap hari, perkhidmatan bas ulang-alik akan beroperasi serentak dengan perkhidmatan Aerotrain bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu.

“MAHB juga bersedia menggerakkan sumber tambahan bagi menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik sepenuhnya mengikut keperluan pelan tindakan menyeluruh tersebut,” katanya.

Untuk rekod, sejak perkhidmatan Aerotrain disambung semula pada Julai 2025, ia telah membawa lebih daripada 6.55 juta penumpang dan mengendalikan hampir 95,000 perjalanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN