KULIM: Seramai 183 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah digerakkan bagi memantau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 22 Oktober.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, penguatkuasa akan berada di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi menjalankan pemantauan harga dan pemeriksaan ke atas peniaga sepanjang tempoh itu.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang menjual barangan harga terkawal melebihi kadar maksimum yang ditetapkan.
“Tempoh pelaksanaan skim selama tujuh hari itu meliputi empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
“Sebanyak sembilan jenis barangan ditetapkan di bawah SHMMP kali ini termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji dan parut, bawang merah kecil India (termasuk varieti Ros), bawang merah besar import serta kacang dal Australia,” katanya ketika majlis perasmian SHMMP di Lotus Kulim, hari ini
Menurut Muhammad Nizam, harga maksimum ditentukan berdasarkan faktor semasa seperti permintaan, cuaca, kadar upah serta pandangan daripada agensi strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri makanan.
“Kerajaan berharap semua peniaga mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal berbuat demikian.
“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” katanya.
Sementara itu, KPDN Kedah turut memperhebat pelaksanaan inisiatif di bawah Payung Rahmah sempena sambutan Deepavali bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya masyarakat India di negeri ini.
Ujar Muhammad Nizam, sebanyak 1,352 Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh negeri sehingga 14 Oktober lalu dengan nilai jualan direkodkan berjumlah RM30.3 juta, yang menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 219 PJRM diatur termasuk 133 PJRM Bergerak yang berlangsung mulai 1 hingga 26 Oktober ini dengan tawaran potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran biasa.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, sebanyak 848 syarikat dan 1,049 kenderaan di Kedah telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) membabitkan sektor pengangkutan awam dan barangan. – UTUSAN