PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November manakala tarikh penamaan calon pada 15 November dan tarikh mengundi awal pula pada 25 November.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya telah dimaklumkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.
“Susulan pemakluman itu, mesyuarat khas menentukan tarikh penamaan calon, mengundi awal dan mengundi bagi 73 DUN Sabah diadakan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar PRN DUN Sabah Ke-17 di Kota Kinabalu, semalam.
Beliau berkata, SPR menubuhkan 86 pasukan penguatkuasaan pilihan raya yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh berkempen.
“Jumlah daftar pemilih yang digunakan adalah membabitkan pemilihan tambahan sehingga 5 Oktober 2025 melibatkan 1,784,843 pengundi,” ujarnya.
Sementara itu SPR memperuntukkan sebanyak RM116.8 juta bagi membiayai pelaksanaan PRN17 nanti.
Ramlan berkata, jumlah itu merangkumi pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya termasuk seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO bagi mengendalikan proses demokrasi itu di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, SPR juga akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang dianggotai pelbagai agensi.
Katanya, tempoh berkempen ditetapkan 15 November sehingga 28 November manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.
“Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17, manakala sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran. PRU DUN Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” katanya. – UTUSAN







