YP Smart Target bantu raih keputusan cemerlang SPM - Utusan Malaysia

YP Smart Target bantu raih keputusan cemerlang SPM

MUHAMMAD Syakir Haikal Mohd. Sabri kini menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng dalam jurusan perakaunan selama setahun. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Program Duta Harapan Yayasan Perak (YP) Smart Target SPM 2024 berjaya membantu melonjakkan kecemerlangan pelajar yang terpilih dan mereka kini dalam persediaan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi.

Menurut seorang peserta program, Muhammad Syakir Haikal Mohd. Sabri, 18, inisiatif YP itu membantunya memperolehi 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan kini menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Perak (KMPk) di sini dalam jurusan perakaunan selama setahun.

Menurutnya, YP Smart Target SPM 2024 banyak membantunya terutamanya penyediaan 25 guru pakar sebagai mentor yang membimbingnya secara insentif dalam enam subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains.

“Melalui program ini, kelas diadakan secara dalam talian, bersemuka, berkumpulan atau secara individu selain kami membentuk kumpulan sokongan sendiri bertujuan memperbaiki subjek kurang dikuasai menjelang peperiksaan SPM.

“Selain itu kelas latihan tubi berterusan, latihan menjawab soalan-soalan ramalan selain penyediaan buku-buku rujukan secara percuma memberikan input yang amat berguna,” katanya.

“Saya juga menerima bantuan sekali bayar atau one-off sebanyak RM300 di bawah Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP),” katanya.

Muhammad Syakir merupakan antara 50 pelajar terpilih di bawah program Duta Harapan YP Smart Target SPM 2024.

Bantuan kerajaan negeri menerusi YP itu menepati flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik itu ingin mengubah nasib keluarganya terutama untuk membantu ayahnya yang menyara lima adik beradiknya lain dan masih belajar.

Katanya, bapanya seorang pegawai urusan sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dengan gaji yang tidak seberapa manakala ibunya suri rumah.

“Ayah banyak berkorban untuk kami, dia hanya balik satu atau dua bulan sekali di kediaman kami di Kampung Tanjung Rambai, Gerik kerana bekerja di Sentul, Kuala Lumpur,” katanya.

Dia mahu melanjutkan pengajian lebih tinggi bagi mengejar cita-cita menjadi seorang akauntan bertauliah, sekaligus dapat menyumbang kepada negeri.

Jelasnya, peluang kerja profesional berpendapatan tinggi di negeri ini terbuka luas dengan wujudnya Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP).

“Kemajuan pesat ini membuatkan saya tidak perlu untuk berhijrah ke negeri lain selain menambah bilangan profesional anak tempatan pada masa depan demi memacu kemajuan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN