WTC 2025 fokus tiga dimensi kritikal pelancongan global - Utusan Malaysia

WTC 2025 fokus tiga dimensi kritikal pelancongan global

AB. RAUF Yusoh ketika berucap pada WTC 2025 di Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perkongsian idea daripada delegasi seluruh dunia pada Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mampu merubah komuniti, memulihara warisan dan mencipta peluang mampan untuk generasi akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, persidangan tersebut menjadi platform penting bagi membincangkan tiga dimensi kritikal yang sedang dihadapi sektor pelancongan global.

Beliau berkata, sesi perbincangan mencakupi pemerkasaan ekonomi melalui pelancongan inklusif, pelancongan mampan daripada dasar kepada amalan dan pelancongan dalam era kecerdasan buatan dan inovasi.

“Kita disatukan melalui perkongsian visi yang sama iaitu pertumbuhan mampan, penyertaan inklusif dan transformasi pelancongan yang bermula di Melaka, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk seluruh dunia.

“Pelancongan bukan sekadar aktiviti ekonomi tetapi lebih daripada itu. Pelancongan memiliki satu daya yang mampu menghubungkan budaya, memberi inspirasi untuk berinovasi dan memupuk persefahaman antara negara,” katanya ketika berucap pada WTC 2025 di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Antara delegasi yang menyampaikan ucaptama pada WTC 2025 ialah Pengarah Pembangunan Pelancongan Mampan, Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr. Dirk Glaesser.

Ab. Rauf berkata, segala visi yang dibentangkan pada persidangan kali ini diharapkan dapat diterjemah kepada tindakan.

Menurutnya, langkah itu memastikan legasi WTC 2025 dapat dirasai di seluruh dunia pada masa akan datang.

“Saya berharap medium ini menjadi medan bertukar pendapat dan pandangan mengenai bagaimana transformasi pelancongan mampu memperkasa ekonomi menerusi pelancongan inklusif yang akan membawa manfaat yang signifikan kepada komuniti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN