KUALA LUMPUR: “Dia banyak menangis kegembiraan kerana dia sudah lama tunggu saat ini untuk Elite bergabung kembali di atas sebuah pentas.”
Demikian kata pelakon dan pelawak, Joey Daud berkongsi keadaan isterinya, Watie Sadali yang tidak terlepas dikecam netizen yang kurang berkenan dengan cara pemakaian kumpulan Elite sewaktu konsert Sabtu lalu.
Tidak berniat mahu membela isterinya, Joey bagaimanapun mengakui kagum dengan usaha keras Watie untuk menjayakan konsert tersebut buat peminat mereka selepas 25 tahun menempa nama dalam industri.
“Dia selalu luahkan hasrat untuk adakan konsert yang besar. Alhamdulillah, dikabulkan doanya. Tetapi saya kenal isteri saya, tipulah dia tidak sedih dikecam sebab setiap kali habis penggambaran saja dia akan terus berlatih.
“Bukan mahu membela isteri saya tetapi dia tidur pun saya boleh tahu dia penat. Tetapi dia ketepikan rasa penat itu kerana ini peluang yang mungkin tidak datang lagi.
“Dia juga mahu buktikan bahawa Elite masih relevan dan anggap konsert ini sebagai hadiah untuk peminat,” katanya ketika ditemui di sidang media Muzikal Lawak Superstar Musim Kelima (MLS5), semalam.
Tambah Joey, dia berpendapat pakaian yang dikenakan oleh kumpulan Elite sewaktu konsert tidaklah mencolok mata selain menganggap ia bersesuaian dengan acara.
Namun, pelawak itu terpaksa akur dengan kritikan netizen yang disifatkan semakin agresif dalam mencari kesalahan dan menghakimi orang lain terutamanya selebriti.
“Ini adalah persembahan untuk hiburan, mungkin pemakaian itu adalah kehendak penaja atau kumpulan Elite sendiri.
“Pada saya, pakaian mereka tidaklah mencolok mata kerana masih ditutup dengan skirt dan sebagainya. Tetapi kita tidak boleh halang pandangan atau pendapat orang.
“Zaman sekarang ini terlalu ramai yang mahu menjadi juri yang tidak bertauliah. Ramai yang mahu mencari kesalahan sahaja. Sayanglah industri ini. Macam mana mahu berkembang?
“Saya harap tahun 2026 tiada orang yang suka mencari kesalahan ini kerana sampai bila? Tetapi bagus juga untuk kita lebih bersedia dan perbaiki,” ujarnya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam MLS5, Joey bersama anggota kumpulannya Norreen Iman dan Zul Huzaimy (Jozon) bakal berentap dengan sembilan kumpulan lain dalam program realiti komedi tersebut.
Program yang bakal membuka tirainya pada 11 Oktober itu akan dikendalikan oleh hos terkenal, Datuk AC Mizal dan turut menampilkan Datuk Aznil Haji Nawawi, Bella Astillah dan Zizan Razak sebagai barisan juri tetap.-UTUSAN











