LUMUT: Seorang warga emas maut selepas terlibat pergaduhan dengan rakannya di sebuah rumah di Pulau Pangkor, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman, berkata polis menerima maklumat orang awam kira-kira pukul 2 petang memaklumkan dua warga emas berusia 73 tahun bergaduh di sebuah rumah di Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor.
“Salah seorang daripadanya mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri manakala suspek telah keluar dari rumah tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.45 tengah hari oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan Pangkor yang tiba di lokasi kejadian.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihak polis menahan suspek di hadapan sebuah kedai makan di Sungai Pinang Kecil, kira-kira pukul 2.30 petang.
Mahkamah Majistret Seri Manjung membenarkan permohonan polis untuk menahan suspek selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Sukjit Singh Jagara Singh di talian 019-550 5536 atau WhatsApp hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 017-682 8005. – UTUSAN









