Wanita cuba dekati Sultan Nazrin dirujuk ke Hospital Bahagia - Utusan Malaysia

Wanita cuba dekati Sultan Nazrin dirujuk ke Hospital Bahagia

KEJADIAN seorang wanita menceroboh pentas utama dan mendekati Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Wanita yang ditahan kerana menceroboh naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Ahad lalu, akan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 41 tahun itu dirujuk ke hospital berkenaan setelah tempoh reman selama tiga hari berakhir hari ini.

“Reman tamat, kita rujuk suspek ke HBUK,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, setakat ini suspek belum lagi dituduh di mahkamah.

“Kita masih menunggu perincian dan arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Isnin lalu, Majistret Wardah Nabilah Mohd. Abd. Wahab membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Wanita terbabit ditahan selepas menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Ahad lalu.

Wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam itu dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek.

Berdasarkan semakan, wanita terbabit memiliki rekod lampau bersabit kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati wanita itu negatif dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN