PUTRAJAYA: Individu kenamaan bergelar Tan Sri, ahli politik dan ahli perniagaan adalah antara mereka yang dikesan tidak memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan mewah masing-masing.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya mendapati jumlah cukai jalan yang masih tertunggak membabitkan kumpulan itu kini mencecah RM35.7 juta.
Beliau berkata, semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati lima jenis kenderaan mewah paling popular yang culas membayar cukai jalan itu terdiri daripada kereta jenis Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche.
“Ia membabitkan 345 buah Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan RM6.4 juta; 372 buah Lamborghini (RM3.7 juta), 660 buah Bentley (RM7 juta), 675 buah Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 buah Porsche (RM13.7 juta).
“Keseluruhannya, hanya lima jenis kenderaan ini sahaja sudah mencecah hampir RM35.7 juta cukai jalan yang tidak diperbaharui dan jumlah ini melibatkan kurang 10,000 kenderaan tetapi nilai tunggakan sangat besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, JPJ mempunyai semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat ada dalam sistem mereka.
Bagaimanapun, Loke berkata, walaupun ada dalam kalangan mereka bergelar Tan Sri, ahli politik atau ahli perniagaan ternama, pihaknya tidak akan mengumumkan nama kerana tidak mahu memalukan sesiapa.
“Saya hanya mohon mereka yang tergolong dalam kumpulan ini supaya menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan masing-masing,” katanya.
Katanya, JPJ kini melaksanakan Op Luxury secara berterusan bagi mengesan dan menyita kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah.
Jelasnya lagi, setakat ini Op Luxury telah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, malah ia telah disiarkan di media termasuk sitaan terhadap kereta mewah dimiliki artis dan selebriti.
“Kenderaan yang ditahan akan disita serta-merta supaya tidak berada di atas jalan raya sehingga pemilik melunaskan cukai jalan dan insurans.
“Operasi ini bukan bertujuan memalukan individu tertentu tetapi memberi mesej jelas bahawa semua pihak tanpa mengira status mesti mematuhi undang-undang,” katanya.
Katanya, cukai jalan bagi kenderaan mewah ada yang mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun dan pemilik wajib memastikan ia diperbaharui bagi membolehkan kenderaan mereka layak berada di atas jalan raya. – UTUSAN