KULAI: Tukang cuci sambilan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Kulai pada pukul 5.45 petang, semalam.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai, hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah mengesan suspek dan membuat tangkapan.
“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau jenayah seksual,” katanya menerusi kenyataan.
Ahad lalu, seorang wanita tempatan berusia 57 tahun tampil membuat laporan polis memaklumkan cucunya yang berusia sembilan tahun dicabul suspek kira-kira pukul 7.30 malam.
Katanya, pengadu mendakwa kanak-kanak itu dicabul seorang lelaki warga tempatan ketik berada dalam sebuah tandas awam di Jalan Jambu Air, Taman Iris di sini.
Menurut Seng Lee, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mendedahkan pembabitan suspek dalam lain-lain kes jenayah sama ada di dalam atau di luar daerah ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.-UTUSAN