Tolak pencalonan tidak bermakna Pas tandus calon PM

Tolak pencalonan tidak bermakna Pas tandus calon PM

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak pencalonan sebagai Perdana Menteri tidak bermakna parti itu ketandusan pemimpin berkelayakan.

Tuan Ibrahim berkata, sebaliknya Pas mempunyai banyak pemimpin yang mampu dilantik sebagai Perdana Menteri dan boleh membina barisan kepimpinan berintegriti, amanah serta berkemampuan.

Katanya, Pas sebagai sebuah parti komponen dalam gabungan politik Perikatan Nasional (PN) lebih memilih untuk menyelesaikan isu calon Perdana Menteri secara kekeluargaan dengan parti lain.

“Soal menamakan calon Perdana Menteri bukanlah keutamaan Pas sebaliknya kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah fokus utama.

“Isu calon Perdana Menteri akan dibincang bersama dengan rakan PN. Kemenangan adalah kerjasama bersama yang dirintis daripada hasil gerak kerja semua komponen PN, ini yang perlu menjadi keutamaan masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Abdul Hadi menyatakan secara terbuka dirinya tidak layak menjadi Perdana Menteri disebabkan faktor-faktor seperti usia dan tahap kesihatannya.

Beliau memberikan syarat bahawa calon Perdana Menteri daripada PN mestilah berusia 70 tahun ke bawah dan sihat tubuh badannya selain berilmu serta berintegriti tinggi.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim juga menolak pencalonan Pemuda Pas yang mahu beliau dilantik sebagai Perdana Menteri jika PN berjaya membentuk kerajaan dalam PRU16.

Ketika ditanya sama ada Pas akan membawa nama pemimpin berkelayakan dalam parti tersebut dalam perbincangan dengan rakan komponen PN, Tuan Ibrahim memberitahu bahawa perkara itu akan dimaklumkan kelak.

“Kita akan maklumkan apabila sampai masanya nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN