KOTA BHARU: Individu cuba menganggu saksi dengan melakukan ancaman sehingga mengganggu proses prosiding inkues pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir berdepan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, ancaman dihadapi pakar patologi forensik, Dr. Jessie Hiu tidak sepatutnya terjadi termasuk ancaman lain.
“Adalah tidak wajar sebarang tindakan yang dilakukan oleh segelintir pihak untuk mengganggu gugat, memberi komen atau ulasan berkaitan kes ini.
“Orang ramai perlu menghormati proses keadilan sedang berjalan ketika ini. Apa-apa pun kita tidak teragak-agak mengambil tindakan keras dan tegas jika ada pihak yang cuba berbuat demikian dalam proses keadilan termasuk mengganggu saksi-saksi dan membuat ancaman atau sebagainya,” katanya pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Gafar, di sini semalam.
Dr. Jessie dilapor membuat laporan polis berhubung ancaman diterima daripada netizen dipercayai susulan keterangannya selama dua hari dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Mohd. Dusuki percaya Dr. Jessie yang berpengalaman luas tidak tergugat dengan ancaman itu dan percaya pakar itu telah pun membantu mahkamah.
Katanya, Jabatan Peguam Negara melihat dan mempertimbang secara keseluruhan dalam melindungi saksi.
“Kita tidak boleh pandang ringan kes ini dan ia perlu ambil serius kerana kita faham proses ini melibatkan ramai saksi, dokumen dan lain-lain,” ujarnya.-UTUSAN










