Tidak pernah mahu menjadi Glenn Fredly - Utusan Malaysia

Tidak pernah mahu menjadi Glenn Fredly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN di luar normal apabila cara nyanyian seorang penyanyi itu disamakan dengan penyanyi lain. Senario ini menjadi sebahagian asam garam yang perlu ditelan penyanyi yang masih merangkak meniti populariti.

Penyanyi kelahiran Sulawesi Utara, Allan Anderson tidak sedikit pun melatah apabila cara nyanyiannya disamakan dengan bintang tersohor Indonesia, mendiang Glenn Fredly.

Cuma, Allan yang berusia 33 tahun tidak mampu menidakkan rasa kurang senangnya apabila dituduh tidak mempunyai identiti sendiri dan cuba meniru penyanyi bertaraf legenda yang cukup terkenal itu.

“Suara saya memang begini sejak azali lagi, mana mungkin saya mampu mengubahnya.

“Oleh itu tiada penjelasan yang boleh saya berikan kepada mereka yang berpandangan saya ini cuba menjadi seperti mendiang Glenn Fredly. Setiap orang berhak memberi pendapat dan saya juga berhak untuk menerima atau pun tidak.

“Terserah mahu menyamakan gaya nyanyian saya dengan penyanyi lain. Yang penting, saya ikhlas menyanyi dan berkarya, tidak pernah berniat mahu meniru sesiapa,” katanya pada majlis pelancaran single terbaharunya Seakan Ku Tak Ada, baru-baru ini.

Allan bagaimanapun tidak menidakkan hakikat yang bahawasanya mendiang Glenn Fredly juga banyak mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada dirinya untuk mengejar impian untuk menjadi penyanyi yang berjaya.

“Saya mula mengikuti perjalanan muzik mendiang sejak saya menuntut di sekolah menengah lagi. Dan sebenarnya ada juga rakan-rakan sekolah yang sebelum ini pernah memberitahu yang suara saya mirip Glenn.

“Saya, ketika dimaklumkan perkara itu, tidaklah mengambil serius mengenainya, antara percaya atau tidak sahaja. Apatah lagi saya merasakan diri saya ini tidak setaraf mendiang.

“Dan sebenarnya, saya tidaklah sepenuhnya menolak apabila nyanyian saya disamakan dengan seorang legenda dunia muzik. Perjalanan seni kami juga tidak jauh beza kerana mendiang juga, di awal pembabitannya berdepan banyak kesulitan. Malah jalannya lebih sulit berbanding saya.

“Isteri mendiang pernah menceritakan betapa susahnya mendiang sehingga terpaksa menyanyi dari satu kafe ke kafe yang lain untuk mempromosikan lagu-lagunya dan beliau juga berdepan banyak penolakan. Jadi saya harap satu masa nanti saya juga bakal berjaya seperti mendiang,” kongsinya.

DOA DAN USAHA
Allan mengakui usaha untuk menapak dalam dunia muzik Indonesia dan Malaysia penuh cabarannya. Permulaan yang terlalu sulit pernah hampir membuatkan dirinya berputus asa dalam mengejar cita-cita tersebut.

“Tapi saya bersyukur kerana banyak perkara yang baik menyusul selepas kesulitan itu. Kalau terlalu mudah mendapatkan sesuatu, mungkin saya menjadi orang yang tidak bersyukur.

“Apa pun saya percaya yang saya berada sejauh ini bukan untuk dikecewakan sebaliknya untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik.

“Namun tiada perkara lain yang mampu saya lakukan selain berdoa dan terus berkarya. Semoga apa yang saya usahakan ini akan membawa kebaikan.

“Saya percaya, Tuhan tidak akan mensia-siakan hambanya yang selalu berusaha. Mungkin kesukaran saya lalui ini adalah sebahagian daripada prosesnya. Saya jalani sahaja dahulu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Allan juga berlapang dada apabila sering dilabel sebagai pendatang baharu meskipun usia karier seninya kini sudah menghampiri sedekad.

“Saya okey sekiranya masih ada yang menganggap saya ini pendatang baharu. Hal Itu tidak harus diperbesarkan.

“Seorang seniman tidak perlu terkesan atau runsing apabila dilabelkan. Orang lain bebas berkata apa sahaja tentang saya. Saya percaya diri, dan menyanyi inilah cara saya cari pendapatan.
“Menjadi pemuzik itu bukan untuk beradu kehebatan. Tetapi menghiburkan orang dengan karya yang dicipta,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN