'Tidak perlu bandingkan Fazura dengan sesiapa' - Utusan Malaysia

‘Tidak perlu bandingkan Fazura dengan sesiapa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zarina Zainuddin meminta orang ramai untuk tidak terus membandingkan aktres, Fazura dengan mana-mana wanita lain.

Menurut Zarina, Fazura mempunyai keperibadian dan kelas tersendiri sekali gus menyifatkan aktres itu sebagai wanita mahal.

“Fazura itu di kelasnya yang tersendiri. Tak perlu bandingkan dia dengan sesiapa. Jauh bezanya, dia wanita mahal yang berkelas,” katanya.

Zarina berkata demikian susulan pengumuman pernikahan aktor, Fattah Amin dan penyanyi, Amira Othman yang hangat diperkatakan sejak semalam.

Dalam masa sama, pelakon itu tetap mendoakan kebahagiaan Fazura dan Fattah meskipun kedua-duanya memilih untuk membawa haluan masing-masing sejak setahun yang lalu.

“Dulu saya pernah doakan agar Fattah dan Fazura berbaik demi anak. Tetapi nampaknya Fattah lebih dulu mencari pengganti, sementara Fazura masih sendiri.

“Saya sayang Fazura, saya juga suka Fattah. Semoga mereka berbahagia dengan cara masing-masing,” jelasnya.

Zarina bagaimanapun sempat meluahkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah wanita yang tergamak menghentam wanita lain dengan cacian tanpa memikir impaknya di kemudian hari.

“Sebagai seorang perempuan, tentulah saya menyokong perempuan, sebab perempuan lebih faham perasaan perempuan

“Saya baca banyak komen, perempuan lebih-lebih menghentam perempuan lain. Kata-kata itu sangat menyakitkan. Bila terkena pada diri sendiri baru tahu rasa. Saya kata, teruslah Fazura terbang tinggi, awak wanita kuat,” ujarnya.

Semalam, Fattah dan Amira mengumumkan mereka bakal melangsungkan majlis pernikahan pada 14 September ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hubungan cinta pasangan itu.

Fattah dan Fazura pernah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 namun bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN