Tiada niat bermusuhan, harap bekas suami munculkan diri - Raja Azura - Utusan Malaysia

Tiada niat bermusuhan, harap bekas suami munculkan diri – Raja Azura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, berkata permohonan tuntutan nafkah yang dilakukan terhadap bekas suami, Adzmin Osman di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Rabu bukan berniat mahu bermusuhan.

Jelas Raja Azura yang mesra disapa Kak Engku, tindakan itu dilakukan bagi memenuhi hak anak-anak di samping berharap bekas suami dapat memunculkan diri bagi memudahkan prosiding.

“Sewaktu saya bekerja di Suria FM pun, saya pernah berikan bayangan kepada bekas suami. Waktu itu, topik yang dibincangkan adalah mengenai ‘provider’ (pemberi nafkah).

“Waktu itu, saya nak dia munculkan diri. Kalau tak nak jumpa saya pun, boleh berjumpa dengan pengurus saya. Dia boleh berhubung dengan pengurus saya. Tapi, tak ada sebarang maklum balas.

“Alhamdulillah, mungkin ini gerak Allah. Saya rasa, hari ini adalah hari yang sangat sesuai. Selepas berpisah, saya memang tak pernah berjumpa dan tak berkomunikasi dengannya. Begitu juga anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pelakon Tiga Janda Melawan Dunia turut menjaga imej bekas suami dengan mendidik anak-anak agar tidak membenci bapa mereka walau apa yang terjadi.

“Anak-anak tidak membenci bapa mereka kerana saya didik mereka supaya tidak membenci. Apa sahaja yang berlaku, jangan benci. Terima dengan ketentuan Allah SWT dengan baik. Terima dengan tenang.

“Saya juga didik anak-anak supaya menghormati bekas suami walau apa pun yang berlaku. Saya tak suka membuka aib sesiapa. Dalam hal ini, kita nak santai-santai dan berharap dia dapat muncul.

“Mungkin dia malu atau segan. Jangan. Saya tetap Raja Azura seperti yang dulu,” katanya.

Terdahulu, Raja Azura pernah berkahwin dengan Adzmin Osman yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada Mac 2001.

Bagaimanapun mereka berpisah pada 28 September 2010 dah dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN