BATU KAWAN : Seorang pekerja penyelenggaraan berdepan detik-detik mencemaskan apabila terkandas pada ketinggian kira-kira 40 meter di platform empat, menara telekomunikasi di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini, tengah hari tadi, gara-gara tebuan.
Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berusia 29 tahun yang juga warga Pakistan itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di atas menara terbabit.
Akibat kejadian tersebut, mangsa dipercayai terkandas selama lebih setengah jam sebelum berjaya diturunkan ke bawah dengan bantuan anggota bomba.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai ancaman tebuan itu kira-kira pukul 12.03 tengah hari tadi.
Katanya, mangsa tidak dapat turun disebabkan pada masa itu kerana sarang tebuan berkenaan berdiameter 25 sentimeter (cm) dan tebuan-tebuan juga sedang berkeliaran di platform satu dengan ketinggian kira-kira 10 meter.
“Sehubungan itu, anggota bomba yang bertugas terpaksa membuat ‘size up’ menggunakan sut perlindungan diri (PPE) yang lengkap untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan.
“Ini termasuk usaha menaikkan dan memberi baju kalis serangga untuk dipakai oleh mangsa sebelum dia diturunkan melalui tali keselamatan yang telah dipasang oleh pihak penyelenggara.
“Mangsa akhirnya berjaya turun dengan selamat dan pihak pengurusan menara komunikasi berkenaan seterusnya bertindak untuk menghubungi Pihak Kawalan Serangga Perosak bagi kerja-kerja pemusnahan sarang tebuan terbabit,” katanya yang memberitahu, operasi tamat sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian.-UTUSAN