Tentera Israel pintas radio, lakukan gangguan psikologi - Hazwani Helmi

Tentera Israel pintas radio, lakukan gangguan psikologi – Hazwani Helmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis Global Sumud Frotilla (GSF), Hazwani Helmi mendedahkan radio kapal yang dinaiki mereka ke Gaza didakwa telah dipintas oleh tentera Israel, dipercayai cubaan melancarkan gangguan psikologi kepada peserta misi.

Menerusi perkongsian di media sosialnya, Hazwani menyatakan bahawa pada pagi semalam, delegasi mereka dari kapal yang dikenali sebagai Johnny M terdengar lagu Natural Mystic nyanyian Bob Marley dimainkan secara tiba-tiba melalui radio kapal.

“Delegasi kami mendengar lagu dan lirik itu dari radio kapal kami, Johnny M tengah pagi semalam.
Beberapa jam kemudian, kapal kami masuk air. Mungkin kebetulan. Tapi kami yakin dengan kuasa Allah,” katanya.

Tambah pelakon Pendekar Awang itu lagi, lagu yang membawa tema kematian itu juga pernah dilaporkan dimainkan dalam insiden serupa melibatkan kapal-kapal misi kemanusiaan sebelum ini.

Beliau percaya ia adalah antara taktik tekanan mental yang digunakan oleh pihak Zionis untuk melemahkan semangat pasukan misi.

“Mereka tengah buat perang psikologi tapi tiada siapa boleh melawan perlindungan Allah, Insya-Allah kita kekal Sumud,” tulisnya lagi menerusi hantaran di Instagram.

Sebelum ini, kakak kepada pelakon itu iaitu penyanyi, Heliza Helmi berkongsi kapal yang dinaiki mereka telah mengalami masalah teknikal, membuatkan mereka terpaksa berpindah ke kapal sementara.

“Keadaan sangat bahaya dan kapal tidak boleh digunakan lagi. Oleh itu, kami perlu dipindahkan ke kapal lain buat sementara waktu dan kita akan teruskan pelayaran ke Gaza walau apapun ujian. Yang penting, doakan,” katanya menerusi perkongsian video.

Walaupun Kapal Johnny M dilaporkan mengalami masalah teknikal, namun pasukan kemanusiaan yang terdiri daripada pelbagai negara termasuk Malaysia terus komited untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin yang kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden.

Kapal GSF menuju Gaza secara rasminya telah memasuki zon kuning semalam. Konvoi pelayaran dijangka memasuki zon merah pada Khamis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN