PETALING JAYA: Tempoh sah bagi penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sah sehingga 31 Disember ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, orang ramai tidak perlu terburu-buru menggunakan bantuan tersebut hingga bersesak di kaunter.
“Sekiranya bimbang perlu beratur panjang, anda boleh mengunjungi mana-mana kedai runcit terpilih yang berdekatan atau beli-belah secara berkala.
“Jangan risau kerana anda mempunyai tempoh empat bulan untuk menggunakan kredit ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi turun padang ke kedai runcit yang menyertai program MyKasih di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, orang ramai tidak bimbang perlu mengenai gangguan sistem semasa menggunakan MyKad untuk menebus bantuan tersebut memandangkan sistem MyKasih kini lebih stabil dengan peningkatan kapasiti sebanyak 60 peratus.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan perlu mengambil tindakan pantas susulan beberapa aduan gangguan sistem pada hari pertama dan kedua selepas bantuan sekali bayar sebanyak RM100 dikreditkan dalam MyKad mulai 31 Ogos.
“Kerana terlalu ramai yang cuba menebus bantuan itu serentak menyebabkan sistem tergendala pada hari pertama dan kedua. Sekarang rakyat tidak perlu lagi risau untuk membuat pembelian menggunakan SARA,” katanya. – UTUSAN