Tanggungjawab penuh pentadbir, guru tangani isu buli di sekolah

Tanggungjawab penuh pentadbir, guru tangani isu buli di sekolah

KAKITANGAN kerajaan menunjukkan platform pendapat awam mengenai tribunal antibuli selepas Sesi Townhall Anti Buli di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pentadbir dan guru perlu bertanggungjawab penuh dalam menangani kes buli yang berlaku di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tanggungjawab itu perlu dilakukan tanpa sebarang kompromi bukan sekadar dikendalikan mengikut peraturan pentadbiran semata-mata, sebaliknya tanggungjawab moral serta asas pendidikan karakter yang perlu dijunjung seluruh warga sekolah.

“Sepatutnya tidak ada langsung (ketakutan atau cubaan menyembunyikan kes). Ini adalah tanggungjawab yang mesti dikendalikan oleh semua pihak termasuk sekolah.

“Kita sudah memberi jaminan bahawa semua kes ini mesti disiasat dengan telus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Tribunal Antibuli Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Katanya, setiap kes buli mesti dilaporkan mengikut prosedur sedia ada sebelum dibawa ke peringkat tribunal undang-undang, selaras dengan garis panduan KPM.

Pada masa sama, katanya, KPM telah melaksanakan reformasi pada portal aduan bagi memberi jaminan keselamatan kepada pelajar yang tampil membuat laporan.

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, garis panduan menangani isu gangguan seksual dan jenayah buli ini telahpun diguna pakai di peringkat kementerian seawal tahun 2023.

“Tetapi kita tidak berhenti setakat itu sahaja, malah usaha-usaha itu terus diperkukuhan dengan pelbagai langkah untuk memastikan bahawa gejala buli ini benar-benar mendapat sentuhan yang holistik.

“Maksudnya bukan sahaja dari segi melihat kepada hukuman tetapi juga melihat dalam aspek-aspek yang jauh lebih signifikan termasuk soal pendidikan itu sendiri, soal nilai itu sendiri.

“Sebab itu dalam konteks pendidikan ini, soal menekankan aspek-aspek nilai, membina generasi melalui agenda pendidikan karakter adalah agenda besar di peringkat KPM,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN