Tangani kepadatan sekolah di bandar

Tangani kepadatan sekolah di bandar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUBUHAN IKRAM Malaysia ingin menarik perhatian terhadap isu kekurangan sekolah rendah dan menengah di kawasan bandar yang semakin mendesak akibat pertumbuhan populasi. Kadar pertambahan sekolah tidak seiring dengan bilangan murid, mengakibatkan kepadatan kelas tinggi.

Menurut laporan, ada sebilangan sekolah yang melebihi 40 murid setiap bilik darjah di beberapa bandar utama, jauh melepasi saranan optimum 25 hingga 30 murid. Keadaan ini menjejaskan kualiti pembelajaran serta menambah beban guru dan pentadbiran.

Dalam situasi ini, sekolah swasta berdaftar memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada ekosistem pendidikan negara. Dengan menyediakan ruang alternatif, sekolah swasta membantu mengurangkan tekanan kapasiti di sekolah kerajaan.

Namun, kos pendidikan di sekolah swasta ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa melalui yuran yang tinggi, sekali gus menjadi cabaran kewangan bagi kebanyakan keluarga.

IKRAM berpandangan bahawa sumbangan ibu bapa yang memilih sekolah swasta wajar diiktiraf kerana mereka turut membantu kerajaan menjimatkan kos pembinaan dan operasi sekolah baharu. Lebih penting, ia memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Sehubungan itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia menggesa kerajaan memasukkan yuran persekolahan di sekolah rendah dan menengah swasta berdaftar ke dalam kategori pelepasan cukai pendapatan individu.

Cadangan ini akan memberi tiga manfaat utama:

  • Meringankan beban kewangan ibu bapa kelas pertengahan.
  • Menggalakkan perkongsian tanggungjawab antara kerajaan dan masyarakat dalam pendidikan.
  • Menyokong kelestarian sistem pendidikan dengan mengiktiraf peranan sekolah swasta sebagai rakan strategik.

IKRAM yakin langkah ini bukan sahaja menangani isu kepadatan sekolah bandar, malah membina sistem pendidikan yang lebih inklusif dan mampan, demi memastikan semua anak Malaysia mendapat akses pendidikan berkualiti. – UTUSAN

DR. OMAR YAAKOB
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×