IPOH: Ketua Jurulatih Perak FA, Syamsul Saad tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya apabila terikat 1-1 dengan Kelantan Red Warriors (TRW) dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 di Kompleks Bolasepak Perak, Chepor di sini semalam.
Menurut Syamsul, anak buahnya turun beraksi dengan sikap yang tidak betul ketika berdepan lawan.
“Saya sudah berpesan kepada pemain supaya tidak turun dengan perasaan bangga selepas kejayaan mengalahkan JDT 2 di Pasir Gudang sebelum ini.
“Kami ke Pasir Gudang tempoh hari dengan tekad mengutip satu mata namun berjaya membawa pulang mata penuh.
“Kali ini kami sasar mata penuh tetapi hanya berjaya mengutip satu mata. Ada elemen terlalu yakin gara-gara menang ke atas JDT 2 sebelum ini,” katanya selepas perlawanan semalam.
Jurulatih itu berkata, pemain Perak tidak mempamer persembahan biasa mereka di babak pertama pada aksi semalam.
Begitupun, anak buahnya berjaya mendapat rentak pada babak kedua untuk menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-70.
“Mujur kami berjaya bangkit pada babak kedua dan berjaya menyelamatkan kedudukan,” katanya.
Sehubungan itu Syamsul mengingatkan anak buahnya supaya tidak bersikap terlalu yakin biarpun bertemu pencabar kurang ternama selepas ini.
Pada perlawanan semalam, pasukan pelawat mendahului hasil penalti yang disempurnakan Emanuel Mbarga Nkene Junior pada minit ke-16.
Perak berjaya bangkit menyamakan kedudukan juga menerusi jaringan penalti yang disempurnakan Christian Okwudiri Chukwu pada minit ke-70. – UTUSAN