SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar kepentingan dan kelangsungan orang Melayu ketika ini dan pada jangka masa panjang di Kampung Baru, Kuala Lumpur dipelihara.
Baginda bertitah, penempatan itu merupakan simbol penting kelangsungan serta maruah orang Melayu di ibu kota dan sebarang pembangunannya perlu mengambil kira kepentingan masyarakat Melayu.
“Sesungguhnya, Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak 1900. Justeru, beta ingin menegaskan Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,” titah baginda, hari ini
Malah, Sultan Sharafuddin menegaskan isu pembangunan di kawasan itu perlu dikendalikan dengan teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Sebab itu, beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira,” titah baginda.
Sultan Selangor menjelaskan, Kampung Baru diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu sejak ditubuhkan pada 1899 untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Almarhum Raja Muda Musa.
“Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampung Baru menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.
“Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor,” jelas baginda.
Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan Sultan Selangor pada zaman British.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemaju perlu memahami keunikan tanah Kampung Sungai Baru dan sebarang usaha membangunkan kawasan itu perlu memelihara dan mengambil kira kepentingan kaum Melayu. – UTUSAN










