Sultan Nazrin rasmi Perak Agrofest 2025 - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin rasmi Perak Agrofest 2025

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melawat pameran pada majlis perasmian Perak Agro Fest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U), di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sementara itu, dalam sembah ucapannya Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa belia tani melalui pengukuhan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam memastikan sektor pertanian kekal berdaya saing sekali gus menjadi teras keterjaminan makanan negeri.

Menurut beliau, inisiatif itu digerakkan melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bermatlamat melahirkan lebih ramai generasi muda yang berkemahiran dalam bidang agro dan teknologi pintar.

“Kerajaan Negeri Perak melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 telah menggariskan pelbagai inisiatif yang bersifat objektif.

“Antaranya memperluas program keterjaminan makanan negeri melalui pengukuhan rantaian bekalan agro, memodenkan sektor tani dengan teknologi pintar serta memperkasakan belia tani melalui pengukuhan latihan TVET.

“Usaha ini turut dizahirkan antara lain melalui inisiatif Bawang Perak yang kini diperluas dan semakin mendapat tempat di pasaran sebagai lambang kejayaan usaha meningkatkan kualiti serta produktiviti hasil tani tempatan,” ujar beliau.

Menurut Saarani, kerajaan negeri turut merintis usaha penanaman kopi Perak sebagai komoditi baharu bernilai tinggi yang bukan sahaja berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu, malah mampu mengangkat nama negeri di persada antarabangsa.

Katanya, kedua-dua inisiatif itu menjadi bukti bahawa Perak tidak hanya mempertahankan tradisi pertanian tetapi juga berani meneroka horizon baharu demi kelangsungan rezeki rakyat selaras dengan aspirasi meneguhkan agenda sekuriti makanan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga memastikan pengurusan pembangunan tanah pertanian yang lebih teratur, penggunaan tanah yang optimum serta amalan pertanian yang lestari, inovatif dan berdaya tahan.

“Langkah ini penting bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi, mengurangkan pembaziran serta memastikan rakyat mendapat makanan yang segar, selamat dan berkhasiat,” katanya.

Bertemakan Lestari Agro, Perak Makmur, Perak Agrofest 2025 berlangsung selama tiga hari mulai semalam membabitkan penyertaan lebih 60 jabatan dan agensi dari seluruh negeri.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 15 pemenang kategori pertandingan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perak tahun 2025. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN