Suasana tegang di Kampung Sungai Baru, pengosongan baki penduduk

Suasana tegang di Kampung Sungai Baru, pengosongan baki penduduk

POLIS sedang mengawal keadaan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur berikutan kerja-kerja pengusiran baki penduduk kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 15 penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini berdepan tindakan pengosongan pagi ini selepas enggan berpindah daripada kediaman mereka.

Suasana tegang menyelubungi kawasan tersebut di mana sejak awal pagi tadi, polis telah memasang khemah kawalan dan mengetatkan sekatan di laluan masuk.

Namun, penduduk dilihat enggan berganjak dan keadaan masih terkawal. Pengamal media juga tidak dibenarkan mendekati kawasan operasi atas faktor keselamatan.

Beberapa aktivis termasuk Rafidah Ibrahim dilihat membuat siaran langsung (live) di media sosial dari lokasi.

Sebelum ini, pemilik rumah di Kampung Sungai Baru berikrar melawan habis-habisan mempertahankan Tanah Rezab Melayu tersebut yang mencecah nilai hartanah puluhan juta ringgit.

Sejak 8 September, penduduk mengadakan solat hajat pada setiap malam bagi membantah tindakan meneruskan pengosongan, walaupun penduduk memfailkan saman di mahkamah.

Penduduk turut mendakwa, pihak pemaju cuba mencetuskan kekacauan dengan mengupah kumpulan tertentu menyusup masuk ke program bantahan dan menyamar sebagai penduduk.

Mereka turut membuat laporan polis mengenai pesanan WhatsApp yang tular, menawarkan bayaran RM100 kepada mana-mana individu kononnya bagi meramaikan bantahan pembangunan pada 11 September.

Bantahan penduduk terhadap pembangunan semula Kampung Sungai Baru bermula selepas kerajaan mewartakan pengambilan tanah pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pewartaan itu melibatkan 410 unit kediaman termasuk 37 rumah teres, 72 unit flat dan selebihnya pangsapuri dengan anggaran lebih 2,000 penduduk yang terkesan.

Penduduk sebelum ini menampilkan dokumen dikeluarkan pada 1932 oleh Residen Selangor yang jelas mengenal pasti Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada Tanah Pertanian Melayu atau MAS, status di bawah pentadbiran kolonial British yang memberikannya perlindungan dan syarat ketat daripada sebarang pengambil alihan tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN