Strategi bertahan bawa hasil, bantu Perak atasi JDT 2 - Utusan Malaysia

Strategi bertahan bawa hasil, bantu Perak atasi JDT 2

PEMAIN Perak meraikan kemenangan ke atas JDT 2 dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang kelmarin. - UTUSAN/IHSAN PERAK FA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Strategi bertahan yang diterapkan pengendali, Syamsul Saad membuahkan hasil apabila Perak membawa pulang tiga mata penuh selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 dalam aksi Liga A1 Semi-Pro 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang kelmarin.

Syamsul menyifatkan kemenangan itu sebagai bonus, kerana sasaran utama mereka ialah untuk mengelak kekalahan dan membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari gelanggang lawan.

“Kami datang dengan misi untuk tidak kalah dan saya percaya semua pemain jelas dengan misi itu.

“Bagaimanapun, hasil disiplin dan pematuhan terhadap segala perancangan, sasaran untuk tidak tewas tercapai dan kemenangan ini merupakan satu bonus buat pasukan, Alhamdulillah.

“Tak sangka pucuk dicita ulam mendatang, kami pulang dengan kejayaan kerana saya hanya sasar satu mata sahaja,” kata Syamsul.

Dalam perlawanan kelmarin, Perak FA hampir di hadapan pada minit ke-22, namun jaringan kapten pasukan, Kamal Arif Azrai Shaimar dibatalkan oleh pengadil, Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana ofsaid.

Namun, penyerang Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-32 untuk meletakkan Perak FA di hadapan.

Kegembiraan pasukan pelawat bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain import tuan rumah, Celso Jose, menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Babak kedua baru sahaja bermula seminit apabila Muhammad Fadhil Mohammad Azmi meledak gol kemenangan pada minit ke-44 bagi memastikan tiga mata berharga menjadi milik Perak.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan pasukannya, Syamsul mengakui mengarahkan anak buahnya untuk bermain lebih bertahan selepas membuat analisis rapi terhadap kekuatan lawan.

“Kita juga telah meneliti aksi terakhir JDT 2 dan mendapati mereka memang merbahaya ketika melakukan serangan balas.

“Jadi, kita tidak boleh bermain secara terbuka kerana ia akan menyebabkan kita dibolosi lebih banyak.

“Kita tahu kualiti JDT 2. Jika kita bermain secara terbuka, kita akan dibolosi. Perkara ini memang telah kita kaji,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN