STL Trofi Juara-juara: Perak Bison ambil khidmat tekong Thailand - Utusan Malaysia

STL Trofi Juara-juara: Perak Bison ambil khidmat tekong Thailand

PASUKAN Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL GP Perak di Ipoh baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Juara Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2025, Perak Bison memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Trofi Juara-juara di Seremban bermula hari ini dengan mengambil khidmat tekong dari Thailand, Worapat Kaetawatwiset.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PSNP), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pemain itu pernah beraksi untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, keputusan mengambil khidmat Worapat Kaetawatwiset sebagai langkah menguatkan bahagian tekong kerana corak permainan sekarang banyak mata diperoleh melalui servis.

“Pemain itu pernah beraksi sekejap untuk pasukan PDRM. Saya berharap Perak Bison yang memulakan cabaran di Karisma Arena, Seremban dengan langkah kanan,” katanya.

Beliau yakin pemain Perak Bison akan beraksi berbekalkan semangat juang tinggi seperti yang ditunjukkan dalam saingan sebelum ini.

“Saya berharap pemain mempamer semangat juang tinggi seperti dalam saingan sebelum ini. Jika itu mampu dilakukan tidak ada sebab mengapa tidak boleh berjaya,” katanya.

Beliau yakin Perak Bison turun beraksi dengan motivasi tinggi selepas usaha dilakukan untuk menyemarak semangat pemain termasuk pengagihan imbuhan hadiah kemenangan.

Menurutnya, pemain dan pengurusan pasukan memutuskan mengenai pembahagian wang tunai yang dimenangi melalui perbincangan.

Selaku juara keseluruhan STL, Perak Bison menerima RM30,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN