BUKIT MERTAJAM : Sebanyak RM65,000 telah diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong bagi tujuan pembangunan infrastruktur tambahan demi manfaat komuniti setempat.
Peruntukan itu diumumkan ketika beliau turun padang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon untuk bertemu pengurusan Masjid Taman Alma Jaya di sini, hari ini.
Steven yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan atas cadangan dan permohonan pengurusan masjid tersebut bagi mengubah suai ruang tandas lama yang tidak lagi digunakan kepada sebuah dewan mesyuarat dan serbaguna.
Katanya, dewan itu nanti bakal dimanfaatkan oleh anak-anak kariah sebagai ruang pertemuan, aktiviti komuniti selain pelaksanaan lain-lain program keagamaan.
Pada masa yang sama, beliau berkata, pihak masjid turut memaklumkan bahawa mereka masih memerlukan dana tambahan sebanyak RM17,000 untuk kelengkapan perabot, sistem penghawa dingin dan sistem audio bagi melengkapkan dewan tersebut.
Sehubungan itu, beliau bersetuju menambah peruntukan tambahan sebanyak RM15,000 manakala Khai Loon turut berbuat demikian dengan menyumbang sebanyak RM3,000 bagi menampung keperluan masjid terbabit sebagai tanda sokongan.
“Masjid ini juga telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada pihak kerajaan persekutuan untuk kerja-kerja penukaran bumbung masjid yang telah uzur, sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf kemudahan demi keselesaan jemaah,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Steven memberitahu, Masjid Taman Alma Jaya yang berusia 25 tahun merupakan antara institusi keagamaan paling besar di Pulau Pinang, meliputi 35 kawasan perumahan dan memberikan perkhidmatan kepada lebih 20,000 penduduk beragama Islam di kawasan tersebut.
Justeru, beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan ini mencerminkan keprihatinan para pemimpin terhadap pembangunan institusi keagamaan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Dalam hal ini, pihak masjid turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan dan berharap agar usaha ini menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kemajuan ummah,” ujar beliau.-UTUSAN