PETALING JAYA: “Mujur saya tidak perlu pegang cicak betul.” Demikian kata pelakon, Sophia Albarakbah ketika berkongsi cabaran untuk menjayakan watak sebagai Zaara menerusi filem Abu Si Raksasa arahan Ramdan Che Hassan.
Menurut Sophia, filem tersebut merupakan naskhah pertama lakonannya yang menggunakan efek Imej Janaan Komputer (CGI) selain perlu berimaginasi untuk berinteraksi dengan seekor cicak raksasa melalui skrin hijau.
“Ini pertama kali saya perlu berlakon di hadapan skrin hijau untuk mereka sunting menggunakan CGI. Kalau berlakon dengan manusia kita boleh pandang mata.
“Bila berlakon dengan skrin hijau ini, saya perlu menggunakan imaginasi sendiri untuk membayangkan cicak salamander tersebur dan perkara itu agak sukar untuk saya.
“Saya geli dengan cicak dan katak sejak kecil. Nasib baik kanak-kanak yang melakonkan watak saya sewaktu kecil itu sahaja yang perlu pegang cicak itu,” katanya.
Tambah Sophia, antara faktor yang membuatkan dirinya tertarik untuk terlibat dalam filem tersebut kerana ingin mencabar lakonannya menerusi naskhah yang bergenre sains fiksyen.
“Apabila pengurus saya kata ini merupakan filem sains fiksyen di Malaysia, saya rasa tawaran itu menarik dan berminat.
“Pengurus saya juga cakap ini merupakan salah satu peluang yang baik. Jadi saya cuba saja. Pada saya, untuk Malaysia wujudkan genre filem yang kita belum pernah buat itu bagus untuk industri perfileman kita,” jelasnya.
Abu Si Raksasa mengisahkan tentang seekor cicak salamander bernama Abu yang dibela Zaara berubah menjadi besar setelah terlepas ke sebuah empangan yang tercemar dengan bahan kimia.
Kemudian, Zaara bersama rakannya iaitu Sofiyan dan Zidan bergabung tenaga untuk menyelamatkan Abu dari serangan pihak berkuasa yang mahu menghapuskan binatang tersebut setelah berubah menjadi raksasa.
Selain Sophia, filem ‘Kaiju’ (raksasa) pertama yang dihasilkan di Malaysia itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.
Filem tersebut bakal menemui penonton dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 September 2025.-UTUSAN