PETALING: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-24 Sabtu ini.
Kata Siti, hal demikian kerana persaingan dalam setiap kategori adalah sengit dan banyak pencalonan yang dirasakan lebih layak untuk diangkat sebagai pemenang.
“Expectation saya untuk menang memang tak ada sebab pencalonan lain semuanya layak menang. Peluang mereka lebih tinggi.
“Karya-karya yang dipertandingkan pun menepati keadaan, permintaan dan citarasa muzik sekarang.
“Apa pun saya bersyukur kerana pernah berpeluang meraih kejayaan menerusi penganjuran AIM yang terdahulu,” katanya.
Penyanyi nombor satu negara itu dalam AIM tahun ini tercalon bagi lima kategori antaranya Vokal Wanita Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Album Terbaik.
Siti dalam pada itu meluahkan rasa syukur apabila AIM kembali dianjurkan selepas beberapa tahun direhatkan.
“AIM perlu diadakan kerana ia anugerah yang bukan sahaja mengiktiraf penyanyi, tetapi insan di belakang tabir yang jarang diketengahkan.
“Sebab itu saya tak akan tarik diri daripada menyertai AIM. Sekurang-kurangnya mereka yang bertungkus lumus menghasilkan album saya berpeluang menerima suatu pengiktirafan.
“AIM inilah yang menyuntik semangat pemuzik untuk terus berkarya,” kongsinya.
AIM24 bakal dipentaskan di Arena of Stars, Genting Highland pada 13 September ini.-UTUSAN