KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui terkejut apabila dimaklumkan namanya direkodkan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara oleh SeaAsia Stats.
Menerusi anugerah tersebut, ia sekali gus menambah satu lagi pengiktirafan berprestij dalam perjalanan seninya yang telah dibina sejak tiga dekad lalu.
“Alhamdulillah, syukur dan berterima kasih atas penghargaan terbaru ini. Saya sendiri tidak pernah terfikir kerana sibuk dengan aktiviti dan kerja-kerja yang perlu diselesaikan.
“Tapi apabila ada pihak yang menghargai, saya rasa syukur, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui di acara Paddle For Hope anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena di sini, hari ini.
Selain itu, Biduanita Negara itu berkata, dia tidak menyangka namanya turut diletakkan sebaris dengan penggiat muzik berstatus legenda lain di rantau ini.
“Saya sebenarnya terkejut. Gelaran ‘legend’ itu sesuatu yang penuh dengan tanggungjawab dan perkataan yang cukup berat.
“Tapi bagi saya, sama ada saya menang atau tidak, dapat anugerah atau tidak, kerja saya tetap akan saya lakukan sebaik mungkin.
“Sama ada menghasilkan album, buat persembahan pentas atau konsert, saya akan berikan yang terbaik setiap kali kemunculan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Siti berkata, penganugerahan itu wajar dijadikan motivasi kepada artis-artis tempatan untuk terus berkarya dan mengharumkan industri muzik tanah air.
“Saya masih aktif berkarya, bekerja, bertanding dalam kategori. Ini sebenarnya satu penghormatan besar.
“Saya harap artis-artis lain jangan berhenti untuk terus menghasilkan karya terbaik. Maksudnya, setiap orang boleh melakukan yang terbaik dalam diri, kejayaan dan sumbangan mereka kepada negara. Jadikanlah ini suntikan semangat,” katanya.
Dalam pada itu, Siti berkata, apa yang dilakukan sepanjang karier seni bukanlah semata-mata mengejar pengiktirafan, sebaliknya atas dasar kecintaan mendalam terhadap muzik.
“Saya bekerja selama ini kerana cinta saya kepada muzik, passion saya terhadap seni yang memang sudah sebati dalam darah. Jadi, bila peminat menghargai, saya mahu kembalikan semula sesuatu yang boleh buat mereka gembira.
“Alhamdulillah, saya bersyukur. Tapi saya tak mahu gelaran itu jadi beban atau tekanan. Yang penting bagi saya adalah terus menghasilkan kerja yang baik, album yang bagus, persembahan pentas yang berkualiti,” ujarnya.
Terdahulu, agensi media antarabangsa ‘SeaAsia Stats’ merekodkan Siti Nurhaliza sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara selepas meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.
Lebih membanggakan Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin,46, masih mengekalkan takhtanya sebagai artis Malaysia paling banyak menerima anugerah sehingga kini.
Malah, kecemerlangannya dalam industri seni muzik itu pernah direkodkan dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 selain berada di tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dari seluruh dunia yang menerima anugerah paling banyak.
Bukan hanya itu, Siti juga menerima pengiktirafan Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Selain itu, Siti juga terus aktif menghasilkan karya baharu termasuk kolaborasi bersama penyanyi tempatan dan antarabangsa di samping aktif dalam perniagaan dan kerja amal.
Kehebatan Siti meletakkan namanya sebaris dengan beberapa artis luar negara lain yang turut diiktiraf sebagai legenda muzik serantau.
Turut tersenarai dalam rekod berkenaan ialah penyanyi kelahiran Indonesia, Iwan Fals. – UTUSAN