KUALA LUMPUR: Bakal membuat persembahan sempena festival muzik terbesar Indonesia, Pestapora, pada 7 September ini, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mendoakan ketegangan di negara itu kembali reda agar beliau berpeluang menyantuni peminatnya di sana.
Siti juga berharap festival tersebut diteruskan mengikut perancangan agar beliau berpeluang kembali ke Indonesia.
“Saya memantau perkembangan. Setakat ini penganjur memaklumkan perancangan asal diteruskan bagaimanapun mereka akan maklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan di sana.
“Saya doakan agar keadaan kembali reda dalam masa terdekat ini supaya saya boleh ke sana untuk membuat persembahan.
“Saya sebenarnya sering menerima jemputan membuat persembahan di sana, cuma sebelum ini saya tidak berkesempatan.
“Jadi diharapkan kali ini dapat saya ke sana untuk merawat kerinduan terhadap peminat Indonesia,” katanya dalam sidang media pengumuman hos dan artis yang membuat persembahan pada Anugerah Industri Muzik ke-24.
Terdahulu, keadaan di Indonesia bertukar tegang apabila ribuan rakyat turun ke jalanan untuk membantah beberapa isu termasuk gaji ahli parlimen, peruntukan dana pendidikan serta program makanan sekolah kerajaan.
Keadaan semakin memburuk dengan tercetusnya rusuhan besar-besaran susulan kematian penunggang motosikal gig, Affan Kurniawan yang maut selepas dirempuh kenderaan taktikal polis.
Siti dalam masa yang sama mengakui beliau turut terkesan dengan situasi di Indonesia ketika ini.
“Sebagai anak seni yang diterima baik di sana, saya terkesan. Malaysia dan Indonesia ini seperti adik beradik. Dicubit peha kiri, peha kanan juga terasa.
“Jadi, apa yang boleh kita lakukan adalah bantu mereka dengan memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat.
“Saya juga tidak ketinggalan membuat pesanan makanan melalui aplikasi Grab dan Ojek dalam talian (ojol) untuk membantu mereka di sana. Matlamat kita adalah untuk memberi mereka semangat,” katanya lagi. – UTUSAN