Sistem pelayan BUDI95 ditingkat 10 kali ganda, 30,000 transaksi seminit

Sistem pelayan BUDI95 ditingkat 10 kali ganda, 30,000 transaksi seminit – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan kakitangan awam pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan meningkatkan kapasiti pelayan (server) Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sehingga 10 kali ganda bagi memastikan kelancaran program itu yang akan bermula akhir bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan sistem baharu itu dijangka mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan kapasiti itu dibuat selepas mengambil iktibar daripada masalah teknikal membabitkan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini.

“Ketika SARA dilaksanakan, kapasiti sistem hanya mampu proses 3,000 transaksi seminit kerana ia dirancang untuk kumpulan lebih kecil.

“Namun, bagi BUDI95, server (pelayan) ditingkatkan sehingga 10 kali ganda, iaitu 30,000 transaksi seminit. Ini membolehkan permohonan dan rayuan orang ramai diproses dengan lebih cepat dan lancar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan harga petrol RON95 pada kadar RM2.60 seliter masih yang paling rendah di rantau ini berbanding Singapura (RM9) dan Thailand (RM4).

Katanya, kadar berkenaan sudah termasuk subsidi sebanyak RM2.50 seliter, manakala subsidi tambahan RM1.99 diberikan melalui sistem MyKad bagi memastikan hanya warganegara Malaysia menikmatinya.

“Kalau kita turunkan harga untuk semua, termasuk warga asing, mereka juga akan dapat faedah. Itu tidak adil kerana tanggungjawab kerajaan adalah kepada rakyat Malaysia yang membayar cukai,” katanya.

Katanya, warga asing yang berdaftar dengan kenderaan Malaysia masih menikmati harga relatif murah, manakala kenderaan luar negara dikenakan bayaran sehingga RM9.70 seliter,” jelasnya.

Jelasnya lagi, sistem berasaskan MyKad itu penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham, selain memastikan subsidi benar-benar sampai kepada kumpulan sasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN