SIC 2025: 250 penyertaan bukti ekosistem inovasi negara berkembang - Utusan Malaysia

SIC 2025: 250 penyertaan bukti ekosistem inovasi negara berkembang

EWON Benedick (hadapan, lima dari kanan) bergambar bersama kesemua penerima anugerah pada malam gala SIC 2025 di WTCKL, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 250 penyertaan diterima untuk mengikuti Swiss Innovation Challenge (SIC) pada tahun ini melibatkan universiti awam dan swasta, syarikat pemula serta inovator bebas dari seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan itu membuktikan ekosistem inovasi negara semakin berkembang dan mampu menarik minat generasi muda serta usahawan untuk tampil mencabar kebolehan masing-masing.

Katanya, ia turut mencerminkan hasrat kerajaan untuk membina landskap inovasi yang inklusif, dinamik dan dipacu rakyat.

“Pada tahun ini sahaja, SIC menerima 250 permohonan dari seluruh negara melibatkan universiti awam dan swasta, syarikat pemula (startups), serta inovator bebas. Penyertaan yang pelbagai ini mencerminkan visi kita terhadap ekosistem inovasi yang inklusif, dinamik dan dipacu rakyat.

“Keunikan SIC terletak pada pendekatan holistik terhadap inovasi. Disusun dalam tiga fasa dinamik iaitu Ideation, Development dan Commercialization Potential.

“Ia bukan sekadar pertandingan, sebaliknya membangunkan bakat melalui bimbingan, latihan serta pendedahan antarabangsa untuk menjadikan idea sebagai penyelesaian yang sedia dipasarkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena SIC 2025 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Ewon berkata, kejayaan SIC sejak dilaksanakan di Malaysia pada 2017 adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan institusi pengajian tinggi dengan pihak industri.

Katanya, penganjuran kali ini turut disokong lebih 10 agensi dan institusi termasuk MRANTI, SME Bank, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) serta Universiti DRB-HICOM selaku penganjur utama.

“Kekuatan SIC terletak pada semangat kolaborasi yang dibawa. Dengan dedikasi pelbagai rakan strategik, kita sedang membina saluran yang kukuh dan mampan bagi menghubungkan penyelidikan, pembangunan dan kesiapsiagaan industri.

“Ini bukan sekadar tentang mencari pemenang, sebaliknya melahirkan teladan, mempercepatkan pengkomersialan dan membawa penyelesaian ciptaan Malaysia ke pentas dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, penganjuran SIC 2025 selaras dengan usaha berterusan pihaknya bersama Universiti DRB-HICOM untuk terus memperkukuh inovasi dan pendigitalan di negara ini.

Katanya, inisiatif itu juga memfokuskan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai asas untuk membina modal insan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri masa depan.

“Pertandingan seperti SIC bukan sekadar platform bagi memperlihatkan kreativiti dan bakat generasi muda, tetapi turut menyediakan bimbingan, mentor serta pendedahan pasaran sebenar untuk menjadikan idea inovatif mereka sedia dikomersialkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN