KUALA LUMPUR: Meskipun tersingkir pada minggu ke-5 program Talk To My Manager, penyanyi, Sharifah Zarina, 44, tetap berbangga dengan pencapaian anaknya, Athalia Buswani, 23, sepanjang penyertaannya dalam pertandingan nyanyian itu.
Malah, kata Sharifah, tambah membanggakan apabila Athalia berjaya memberikan komitmen kepada program terbitan Astro berkenaan tanpa menjejaskan pelajarannya.
“Athalia merupakan pelajar sarjana muda bidang psikologi yang mendapat tajaan sepanjang tempoh pengajiannya.
“Saya risau jika pelajarannya terganggu kerana pertandingan ini.
“Tapi ternyata sehingga minggu kelima, dia mampu seimbangkan kedua-duanya,” kata Sharifah.
Pasangan ibu dan anak ini pada konsert Talk To My Manager Ahad lalu, tersingkir selepas berada di kedudukan tercorot.
Tambah Sharifah, meskipun perjalanan Athalia dalam rancangan itu terhenti Ahad lalu, dia tetap berbangga dengan prestasi anaknya sepanjang lima minggu.
“Kami selalu bersedia (tersingkir) apatah lagi berturut-turut berada di kedudukan bottom 3.
“Tapi saya sedikit terkejut apabila Athalia tersingkir walhal persembahannya bagus pada minggu kelima.
“Apa pun saya lega kerana dia tersingkir dengan persembahan yang terbaik berbanding terkeluar kerana persembahan yang mengecewakan,” kongsinya. – UTUSAN










