MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagi menyelesaikan isu berbangkit termasuk hasrat UMNO mahu bertanding solo.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka. Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, dalam tempoh setahun menjelang pilihan raya negeri (PRN), Pakatan Harapan (PH) dan BN perlu bekerja keras bagi memastikan mesej dan program dilaksanakan Kerajaan Perpaduan sampai kepada rakyat.
Beliau berkata, mesyuarat bersama pemimpin PH negeri akan diadakan dalam masa terdekat sebelum mengadakan pertemuan dengan Ab. Rauf.
“Pertemuan ini bagi menyelesaikan isu berbangkit secara baik dalam mesyuarat termasuk berkaitan hasrat pemimpin UMNO negeri yang mahu bertanding solo,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman MPN Melaka Sesi 2025-2028 di sini, hari ini.
Antara nama besar yang dilantik ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd. Halim sebagai Timbalan Pengerusi MPN PKR Melaka.
Jawatan Naib Pengerusi digalas oleh Ketua PKR Cabang Jasin, R. Jagatheson bersama Ketua PKR Cabang Tangga Batu, Azlan Osman dan Naib Ketua PKR Cabang Masjid Tanah, Lee Kin Mio.
Sementara itu, bekas Ketua PKR Cabang Kota Melaka, Mahani Masban dilantik sebagai Ketua Wanita PKR negeri dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri disandang oleh Ketua AMK Hang Tuah Jaya, Muhamad Hakimi Mokhtar.
Shamsul Iskandar berkata, barisan kepimpinan baharu itu akan memperkukuh dan memantapkan peringkat akar umbi sebagai sebahagian agenda dalam menghadapi PRN pada tahun depan. – UTUSAN










