Seronok belajar agama di sekolah pondok - Khatijah Abu Hassan - Utusan Malaysia

Seronok belajar agama di sekolah pondok – Khatijah Abu Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Usia bonda akan cecah 77 tahun. Jadi, janganlah panggil kakak.”

Demikian seloroh bekas pelakon dan penerbit, Khatijah Abu Hassan ketika pertemuan kami di Finas Hulu Kelang, baru-baru ini.

Bukan menidakkan, tetapi agak terkejut saya selepas mendapat tahu usia sebenar pelakon ini kerana gayanya seperti usia 60-an.

Terdetik juga di hati ingin bertanyakan soal perubahan wajahnya seiring usia, namun hasrat itu saya pendam kerana takut mengundang rasa tidak selesa dalam diri pelakon itu.

Khatijah mungkin tidak sinonim dalam kalangan generasi sekarang ini. Namun bagi mereka yang membesar menerusi drama lakonannya seperti Opah (1982) tentu mengenalinya

Selain itu, Khatijah yang berasal dari Singapura ini pernah menerbitkan filem antaranya Bilut pada tahun 2006.

Namun selepas itu, dia hilang dari radar seni. Kini Khatijah memaklumkan dia banyak memanfaatkan masanya dengan mengikuti program agama di Sekolah Pondok Dan Warga.

TAWAR HATI

Antara pencapaian Khatijah yang boleh dibanggakannya adalah kejayaan menerbitkan filem Bilut.

Filem yang dibintangi ramai pelakon antaranya Datuk Rosyam Nor, Que Haidar, Adlin Aman Ramlie dan penampilan khas pelakon Filipina, Jericho Rosales itu dihasilkan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.


“Waktu itu ramai tidak percaya, yang pelakon biasa seperti saya ini mampu menerbitkan projek filem sebesar itu.

“Disebabkan itu jugalah saya sentiasa dikejar ramai pihak termasuk pengamal media yang mahu mendapatkan kesahihan,” katanya.

Kongsi Khatijah, disebabkan kejayaan itu jugalah muncul pihak bersikap iri hati yang cuba menjatuhkannya.“Saya berjumpa pelbagai jenis orang termasuklah yang dengki dan suka menjatuhkan.

“Sepanjang terlibat dalam dunia penerbitan drama dan filem, saya berhadapan dengan ramai orang yang suka sailang menyailang ini. Ketika berada di puncak, ramai yang mahu menjatuhkan kerana dengki.“Disebabkan itu saya jadi tawar hati dan menyampah. Apa pun saya belajar untuk reda dan memaafkan sahaja orang-orang yang pernah menyakiti saya dahulu,” kongsinya.

MUFLIS

Pernah jatuh muflis, Khatijah menganggap pengalaman itu membawa hikmah yang cukup besar dalam kehidupannya.

Tidak berkongsi panjang, kata Khatijah itu adalah fasa paling menduga membuat dia hampir hilang pertimbangan kerana tekanan hidup.

“Kalau orang lain mungkin boleh jadi gila kerana muflis. Tapi saya diberi kekuatan untuk menempuhinya.

“Itu adalah antara fasa yang paling menduga. Sekelip mata saya hilang kereta, rumah dan tanah.

“Tapi ada hikmah di sebaliknya. Allah nak ajar saya untuk reda. Saya anggap sahaja semua itu bukan rezeki saya.“Apa pun saya tetap bersyukur kerana Allah menguji untuk menyedarkan saya,” kongsinya.

BELAJAR MEMAAFKAN

Khatijah berkata, dia sudah lama memaafkan pihak-pihak yang pernah menjatuhkannya ketika dia aktif menerbitkan filem.

Katanya, mungkin disebabkan itu jugalah Allah membalas sikap reda dan berlapang dadanya dengan kesihatan di usia 76 tahun.

“Tiada rahsia sihat, cuma mungkin hati perlu bersih. Belajarlah reda dan memaafkan. Mungkin kerana itu Allah bagi saya kesihatan.

“Saya sentiasa muhasabah diri. Setiap apa yang saya lalui ini ada sebabnya. Jadi hidup pun jadi tenang.

“Dan dalam masa sama, saya juga amalkan pengambilan suplemen untuk jaga kesihatan yang mana telah saya mulakan sejak usia 40-an,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN