PUTRAJAYA: Malaysia menyifatkan serangan dron terhadap sebuah kapal utama Global Sumud Flotilla (GSF) di Tunisia baru-baru ini sebagai tindakan bacul serta melanggar undang-undang antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, serangan terhadap aktivis kemanusiaan itu nyata bertujuan menakut-nakutkan serta melemahkan misi aman yang dilaksanakan bagi memecahkan kepungan Israel di Gaza.
“Ia juga percubaan menghalang, menakut-nakutkan dan melemahkan misi aman yang bertujuan memecahkan kepungan Gaza dan menyampaikan mesej solidariti dari dunia buat rakyat Palestin, khusus mereka yang berada di Gaza,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, beliau dimaklumkan tiada aktivis Malaysia terlibat dalam insiden serangan dron itu seperti dimaklumkan Pengarah Sumud Nusantara Media Coordination Center, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery yang berada di Tunisia.
Menurutnya, beliau juga dimaklumkan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia akan mengaktifkan Malaysia Flotilla Mission Media Coordination Center di MAPIM Central Warehouse di Sepang.
“Kami di Kementerian Komunikasi akan sediakan bantuan sewajarnya terutama berkaitan dengan Media Coordination Center yang dikeluarkan oleh pihak MAPIM sekiranya ada yang diperlukan,” katanya.
Ketika ini, GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.
Antara yang menyertai misi itu artis tanah air Zizi Kirana dan Ardell Aryana, serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat.
Kumpulan kedua pula melibatkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.
Flotila kemanusiaan itu bertujuan menarik perhatian kerajaan dari seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa yang memerlukan. – UTUSAN









