IPOH: Seorang lagi pemain import dari Nigeria memperkuatkan Perak FA dalam kempen Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 musim ini.
Pemain itu ialah Emewulu Ekene Victor, penyerang muda berusia 20 tahun yang berasal dari Onitsha, Nigeria.
Victor sebelum ini beraksi bersama P/A FC (2024–2025) dan tampil cemerlang apabila dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Bwari League NLO Abuja.
Bakatnya turut mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila mewakili Nigeria dalam Golden Eaglet Tournament di Rusia pada tahun 2022.
Kehadiran Victor dijangka menambah bisa jentera serangan Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Dengan ini pasukan Kejor Yob Kejor menggunakan khidmat tiga pemain dari Nigeria.
Sebelum ini Christian Chukwu dan Aliyu Audu Abu Bakar menyertai skuad bimbingan Shamsul Saad.
Mereka memainkan peranan besar dalam kejayaan 3-0 Perak ke atas Machan FC, baru-baru ini.
Perlawanan Perak seterusnya ialah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada Sabtu ini.
Perak FA setakat ini mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan satu seri dan tewas sekali.
Presiden Pafa, Datuk Azhar Jamaluddin berharap Perak meneruskan rentak kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di persada liga yang melibatkan saingan 16 pasukan itu.
Perak setakat ini berada dalam kelompok empat pasukan teratas. – UTUSAN










