KANGAR: Ketika tumpuan pihak berkuasa lebih kepada kawalan di sempadan termasuk laluan-laluan tikus, penyeludup dilaporkan kembali menggunakan helah menjadi penumpang kereta api bagi menyeludup dadah dari selatan Thailand ke Malaysia.
Modus operandi lama ini kononnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa, walaupun sebelum ini sudah banyak kes penumpang ditahan.
Selain kereta api, penyeludup turut menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan serta laluan laut.
Di laluan laut, mereka menggunakan bot atau sampan kecil, kadang kala menghanyutkan barangan terlarang semasa air pasang surut.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, modus operandi sebagai penumpang kereta api membawa dadah melalui laluan sah itu kembali digunakan kononnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Sebelum ini, terdapat kes di mana pihak berkuasa berjaya menahan penumpang yang membawa dadah menggunakan pengangkutan awam tersebut dari selatan Thailand ke sini selepas pihak berkuasa melakukan pemerhatian secara fizikal dan melalui gerak-geri suspek terbabit.
“Banyak percubaan menggunakan taktik lama ini dan kita percaya ia sudah lama digunakan. Mereka cuba nasib membawa dadah dengan menjadi penumpang kereta api,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Statistik hingga Mei 2025 menunjukkan hampir 600 kilogram dadah pelbagai jenis termasuk 21 tan metrik ketum dirampas, bernilai RM17.9 juta, membabitkan 82 tangkapan. Rampasan meliputi syabu (528.122 kg), ganja (55.7 kg), heroin (29.75 g), pil erimin 5 (4.09 g) dan daun ketum (21.583 kg).
Muhammad berkata, penyeludup juga menjadikan kawasan semak di dalam hutan dengan lokasi sentiasa berubah-ubah sebagai tempat mengumpul dadah sebelum diseludup menggunakan laluan tikus.
“Sindiket ini juga semakin ke depan dalam menyeludup dadah termasuk juga menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran palsu, menyembunyikan dadah dalam komponen kenderaan atau barangan kargo, menggunakan ‘transporter’ tempatan sebagai orang tengah dengan operasi dijalankan pada awal pagi.
“Ada juga yang menggunakan kaedah pos atau parcel bagi tujuan pengedaran selain menggunakan laluan tikus. Bagaimanapun, laluan tikus juga sudah banyak kita tutup tapi penyeludup ini akan sentiasa buka laluan baru dan kami sentiasa pantau dengan kekuatan Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.
Lokasi panas termasuk Kangar (Kuala Perlis, Simpang Empat) dan Padang Besar (Kampung Kolam, Kampung Melayu, Panggas).
Di Padang Besar antara lokasi panas adalah di Kampung Kolam, Kampung Melayu dan Panggas.
Dadah paling popular ialah syabu, berharga RM110 bagi 100 gram dan RM32,000 sekilogram dengan pengguna biasanya berumur 18 hingga 45 tahun.
Sementara itu, penyeludupan ketum di sempadan di negeri tidak ‘serancak’ dahulu dengan pasaran kini lebih tertumpu di selatan Malaysia berikutan penguatkuasaan ketat di sempadan serta harga ketum di Thailand juga semakin jatuh.
Statistik pada 2023, merekodkan rampasan daun ketum sebanyak 38,022.40 kilogram dengan nilai RM380,244.
Pada 2024 pula melibatkan rampasan sebanyak 15,574.70 kilogram dengan nilai RM389,367.
Manakala dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,631 kilogram ketum dirampas dengan nilai RM65,240. – UTUSAN










