PETALING JAYA: Inisiatif kerajaan menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui memacu pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjadi pemangkin kepada pasaran perumahan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, industri bernilai tinggi bukan sahaja mencipta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, malah menarik kemasukan bakat mahir dan pelaburan asing.
“Apabila sektor tertinggi ekonomi berkembang pesat, kesannya pasti mengalir ke pasaran hartanah dan industri bernilai tinggi menyediakan peluang pekerjaan bergaji baik yang menyokong permintaan perumahan.
“Ia juga menarik pelaburan asing dan bakat mahir yang memerlukan kediaman ketika berada di Malaysia, sekali gus merangsang permintaan untuk semua kategori rumah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasaran hartanah negara mencapai rekod tertinggi dalam tempoh sedekad pada 2024 dengan 420,525 transaksi bernilai RM232.3 bilion.
Jelasnya, bagi separuh pertama 2025, jumlah transaksi susut 1.3 peratus tahun ke tahun, namun nilai meningkat 1.9 peratus, menandakan harga kediaman kekal kukuh meskipun volum sedikit menurun.
“Pasaran juga dijangka kembali meningkat pada separuh kedua 2025 dan berterusan sepanjang 2026, dipacu projek infrastruktur utama seperti Sistem Transit Laju Johor Bahru–Singapura (RTS Link), Sistem Transit Laju Johor Bahru–Singapura (RTS Link) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang merancakkan permintaan perumahan.
“IQI melihat pasaran hartanah akan kekal sihat dan berdaya tahan, disokong oleh kadar pekerjaan tinggi serta prospek pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










