Satu dekad Amanah, yakin jadi wadah politik masa depan

Satu dekad Amanah, yakin jadi wadah politik masa depan

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin berperanan sebagai wadah politik masa depan yang menolak politik ekstrem dan perkauman sempit, sebaliknya mengangkat nilai rahmah, keadilan serta kemanusiaan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sejak ditubuhkan sedekad lalu, Amanah membuktikan ia bukan sekadar parti kecil, malah membawa suara dan harapan besar kepada rakyat Malaysia.

“Hari ini kita perlu berani menyatakan Amanah ialah parti dan wadah hari ini untuk masa depan.

“Masa depan yang menolak politik ekstrem, masa depan yang mengangkat Islam sebagai rahmat, bukan alat menghukum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, Amanah tidak lahir daripada rasa kecewa atau putus asa, sebaliknya kerana keyakinan mendalam

Katanya, Malaysia memerlukan sebuah wadah politik berasaskan nilai dan prinsip, bukannya sekadar perebutan kuasa.

“Meskipun melalui pelbagai cabaran sepanjang sedekad lalu termasuk disindir, ditertawakan dan diuji, Amanah tetap berdiri teguh kerana yakin perjuangan yang dibawa mempunyai makna.

“Kita telah buktikan Amanah boleh jadi suara rasional, suara penyatu, dan suara yang membawa maruah politik Islam ke arah lebih matang. Inilah bekal kita untuk masa depan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong agar tidak hilang keyakinan walaupun perjuangan menegakkan nilai rahmah serta membina bangsa dengan kasih sayang dan keadilan bukan jalan yang mudah.

“Tarikh 16 September bukan sahaja menandakan ulang tahun ke-62 Hari Malaysia, tetapi turut menjadi simbol lahirnya Amanah sebagai sebuah parti yang membawa semangat perpaduan, tolak ansur dan cita-cita bersama.

“Satu dekad yang berlalu hanyalah permulaan. Dekad akan datang adalah masa kita mengangkat Amanah sebagai wadah utama rakyat Malaysia, wadah yang menegakkan nilai, rahmah dan maruah bangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN