Saringan jantung sebelum bersukan wajar dijadikan amalan nasional - Utusan Malaysia

Saringan jantung sebelum bersukan wajar dijadikan amalan nasional

Pengarah Sukan merangkap Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Azmee Ghazi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemeriksaan jantung sebelum memulakan aktiviti sukan atau senaman wajar dijadikan amalan nasional bagi mencegah kematian mengejut akibat masalah kardiovaskular yang tidak dikesan.

Pengarah Sukan merangkap Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Azmee Ghazi berkata, langkah itu penting berikutan beberapa insiden maut membabitkan atlet profesional dan orang awam yang aktif bersukan dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

Menurutnya, kes kematian mengejut ketika bersukan harus menjadi peringatan serius bahawa tahap kecergasan luaran bukan penentu kesihatan dalaman jantung seseorang.

Katanya, antara kes yang mendapat perhatian ialah kematian bekas penjaga gol Pulau Pinang, Firos Mohamed, 53, yang rebah akibat serangan jantung ketika perlawanan persahabatan pada Julai lalu.

Insiden sama turut berlaku terhadap pelajar berusia 17 tahun di Kedah yang meninggal dunia selepas tamat acara merentas desa peringkat sekolah, selain kes pemain badminton remaja China, Zhang Zhijie, yang tumbang di gelanggang ketika kejohanan tahun lalu.

“Ramai beranggapan individu aktif bersukan bebas daripada risiko jantung, sedangkan ada yang mempunyai masalah tersembunyi seperti saluran darah tersumbat, aritmia atau kelainan struktur jantung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pemeriksaan awal membolehkan masalah dikesan sebelum ia mencetuskan insiden di padang atau trek. Katanya, kerjasama antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan IJN sebelum ini berjaya mengesan masalah jantung serius pada dua pemain remaja kebangsaan yang kemudian menerima rawatan segera.

Risiko mengikut umur

Dr. Azmee menjelaskan, dalam kalangan individu berusia 35 tahun ke atas, punca utama henti jantung mengejut ialah penyakit arteri koronari atau saluran darah tersumbat akibat kolesterol tinggi.

Bagi golongan muda, kematian mengejut sering berpunca daripada masalah genetik seperti hipertrofi kardiomiopati (penebalan otot jantung) atau gangguan irama jantung yang tidak dikesan kerana tidak menunjukkan gejala.
“Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada atlet profesional, individu yang kerap bersenam atau mereka yang baru mula aktif selepas lama tidak beriadah,” ujarnya.

Peranan kardiologi sukan

Beliau berkata, kardiologi sukan adalah bidang khusus yang memberi tumpuan kepada penilaian jantung atlet dan individu aktif, termasuk mereka yang mempunyai sejarah masalah jantung atau risiko tersembunyi.
Bidang itu juga membantu membezakan perubahan fisiologi jantung akibat latihan berintensiti tinggi dengan keadaan berbahaya yang memerlukan rawatan.

“Matlamat kami bukan untuk menghalang orang bersukan, tetapi memastikan mereka dapat melakukannya dengan selamat dan mengoptimumkan prestasi,” jelasnya.

Pakej pemeriksaan khas di IJN

Bagi meningkatkan kesedaran dan memudahkan akses kepada pemeriksaan, IJN menawarkan dua pakej khas iaitu Saringan Kecergasan Sukan dan Saringan Ketahanan Sukan.

Pakej asas meliputi pemeriksaan tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), ujian elektrokardiogram (ECG), imbasan ekokardiogram, ujian tekanan senaman, ujian makmal serta penilaian fisioterapi.

Pakej ketahanan pula menambah ujian pengambilan oksigen maksimum (VO₂ max), rundingan perubatan sukan dan pemakanan, selain pemeriksaan asas yang sama.

Katanya, saringan jantung perlu dilihat sebagai langkah pencegahan seperti memeriksa enjin sebelum perjalanan jauh, sekali gus mengelakkan tragedi kematian mengejut di padang.

“Kita mahu setiap rakyat, sama ada atlet negara atau orang awam, dapat menikmati gaya hidup aktif tanpa risiko tersembunyi. Saringan ini bukan sekadar menyelamatkan nyawa, tetapi juga memberi keyakinan untuk terus bersukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN