Sambutan Maulid Nabi Masjid An-Nur meriah

Sambutan Maulid Nabi Masjid An-Nur, Saujana Utama meriah

Antara kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Mailidur Rasul peringkat Masjid an-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Program perarakan sempena Maulidur Rasul 1447H peringkat Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 500 penyertaan dalam kalangan penduduk setempat.

Majlis perarakan 10 kontinjen yang bermula pukul 8.20 pagi itu melalui jarak perjalanan sejauh tiga kilometer dari kawasan kejiranan Jalan Seri Pagi melalui Maple, kejiranan Flora sebelum berakhir di MAN di Jalan Seri Pagi 13.

Sepanjang perarakan selama kira-kira 30 minit, para peserta termasuk golongan wanita dan kanak-kanak berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sambil membawa sepanduk.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW bersempena tarikh kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal, semalam.

Selepas tamat perarakan, diadakan tazkirah yang disampaikan oleh pendakwah dan juga penyanyi nasyid, Amaluddin Md. Napiah.  

Pengarah program, Hafiezin Ramlan bersyukur kerana program itu mencapai matlamatnya dalam menyemarakkan lagi rasa cinta dan kasih kepada baginda Nabi SAW.

Katanya, selain itu ia diadakan untuk menguar-uarkan kutipan dana wakaf pembinaan MAN yang baharu yang dianggarkan bernilai RM9 juta.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Pada awalnya kita menjangka penyertaan hanya sekitar 300 orang. Namun, pagi ini kita berjaya menghimpunkan lebih 500 penduduk sekitar Saujana Utama,” katanya.

AMALUDIIN MD. NAPIAH (kanan) menyampaikan tazkirah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh. pagi ini. Turut sama, Hamzah Md. Amin.

Turut memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Datuk Zamani Ahmad Mansor dan Nazir MAN, Hamzah Mohd. Amin.

Program itu juga mendapat kerjasama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr. Abd. Halim Tamuri, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dan Balai Polis Saujana Utama, para peniaga pasar tani dan para penaja yang menyumbang dalam bentuk wang tunai, makanan, minuman dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN