Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi membuktikan dirinya bukan sahaja seorang penyanyi tersohor, malah seorang insan seni yang sentiasa mahu berkongsi inspirasi kepada generasi baharu.
Ia dapat dilihat menerusi satu demi satu kejayaan diraih kebelakangan ini yang menyaksikan tahun ini bagaikan memang ‘milik’ penyanyi kesayangan ramai ini.
Bermula dengan pengiktirafan sebagai Biduanita tanah air, Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dan terbaharu, Siti juga telah melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh agensi antarabangsa, SeaAsia Stats sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara.
Pengiktirafan itu adalah selepas Siti meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.
Meski sedar sudah banyak anugerah diraih, Siti dalam nada merendah diri mengakui bahawa dia tidak pernah menjadikan kemenangan anugerah sebagai ukuran utama.
“Kalau saya menang, Alhamdulillah. Kalau tak menang, saya tetap bersyukur. Anugerah bukan segalanya. Kerja saya tetap akan saya lakukan sebaik-baiknya.
“Sama ada menghasilkan album, buat persembahan pentas ataupun konsert, saya akan sentiasa berikan yang terbaik,”ujarnya.
Menurut Siti, setiap langkah yang diambil bukanlah demi pengiktirafan semata-mata, tetapi kerana kecintaannya yang mendalam terhadap seni.
“Bagi saya, gelaran ‘legenda’ itu sangat besar. Saya bersyukur, tetapi saya tidak mahu ia menjadi beban. Yang penting, saya terus berkarya dengan baik, menghasilkan album dan persembahan yang mampu menggembirakan orang.
“Apabila peminat menghargainya, saya mahu berikan kembali kegembiraan itu kepada mereka,” tambahnya.
Ditanya apa mungkin tips yang boleh diberikan kepada pelapis penyanyi lain yang mahu menjadikan dirinya sebagai sumber inspirasi dan motivasi, penyanyi lagu Cindai dan Menamakanmu Cinta ini ada jawapannya.
“Kalau ditanya tips untuk sampai ke tahap ini, pertama sekali, jangan mudah mengalah. Itu sangat penting. Jangan putus asa dan jangan berhenti belajar. Kita juga jangan takut untuk mencabar diri sendiri.
“Kadang-kadang ada orang hanya mahu buat sekadar yang mereka rasa selesa, tetapi kalau mahu konsisten dalam industri, kita kena jadi evergreen. Kita perlu berani mencuba pelbagai perkara dalam muzik.
“Selain itu, kesabaran juga sangat penting. Kena sentiasa mencari idea-idea yang lebih baik, segar, dan kreatif.
“Satu lagi perkara ialah kita mesti bersikap baik dengan semua orang, serta menghargai setiap orang yang telah bersusah payah membantu kita. Itu sangat penting, sebab bila kita memudahkan kerja orang lain, insya-Allah kerja kita juga akan jadi mudah,”jelasnya.
Dalam pada itu, Siti turut ditanya mengenai perbandingan antara kualiti suara penyanyi antarabangsa dengan penyanyi tempatan yang kadangkala menjadi isu dalam industri senu tanah air.
Baginya, hal itu tidak wajar dijadikan bahan pertikaian kerana setiap penyanyi mempunyai keunikan tersendiri.
“Setiap orang ada suara yang unik. Rezeki pula sudah ditentukan. Dalam pertandingan seperti AIM (Anugerah Industri Muzik), misalnya, setiap tahun juri berbeza dan mereka ada kriteria tersendiri dalam menilai.
“Siapa yang masuk ke peringkat akhir sebenarnya semuanya sudah terbaik. Tinggal lagi rezeki siapa yang dipilih sebagai juara,” jelasnya.
Penyanyi berusia 46 tahun ini yang sudah melalui AIM bertahun-tahun juga mengakui bahawa dia memahami selok-belok penjurian, yang menurutnya sentiasa berubah mengikut kriteria semasa.
“Saya nampak ada perubahan, misalnya dalam kategori etnik kreatif yang kini lebih menekankan nyanyian berasaskan dialek.
“Kalau kategori tradisional pula, mungkin mereka mahu ia benar-benar asli tanpa campuran moden. Jadi setiap tahun ada kelainan. Yang penting, bila kita sudah masuk finalis, itu sudah satu kemenangan,” katanya.-UTUSAN