RUU baharu ganti Akta Pembantu Perubatan dalam semakan Peguam Negara - Utusan Malaysia

RUU baharu ganti Akta Pembantu Perubatan dalam semakan Peguam Negara

ZAHRUL Hakim Abdullah (kiri) melihat pameran teknologi-teknologi perubatan selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali.Ke-27 dan Mesyuarat Exco Kali Ke-132 KKPPPSM di Kota Bahru, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi menggantikan Akta Pembantu Perubatan (Pendaftaran) 1977 (Akta 180) sudah berada dalam semakan Peguam Negara ketika ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Zahrul Hakim Abdullah berkata, RUU itu kemudian akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri terlebih dahulu untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Kita harap proses tersebut dapat berjalan dengan lancar untuk memastikan pindaan kepada Akta 180 ini dapat dibentangkan di Parlimen pada suku pertama atau kedua tahun depan serta dapat memberi nilai tambah kepada profesyen pembantu perubatan.

“Akta 180 sudah lebih 40 tahun dan pindaan perlu dilakukan untuk memastikan ia kekal relevan dalam perkembangan semasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-27 dan Mesyuarat Exco Kali Ke-12 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia (KKPPPSM), di sini hari ini.

Zaharul Hakim memberitahu, Bahagian Amalan Perubatan KKM telah mengadakan libat urus bagi memperkasakan akta tersebut dengan memasukkan klausa-klausa baharu melibatkan profesyen pembantu perubatan.

Katanya, akta itu akan menjadikan perundangan lebih holistik terhadap profesyen pembantu perubatan.

Dalam perkembangan lain, Zahrul Hakim berkata, pihaknya telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila berdepan situasi banjir dalam persdiaan menghadapi ketibaan musim tengkujuh.

“Dari segi logistik dan bekalan ubatan pula, kita akan pastikan ia mencukupi untuk mengelakkan terputusnya sistem penyampaian terutama bekalan perubatan di kawasan yang terjejas banjir.

“Kita juga akan sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi lain, sebab apabila banjir mungkin ada jalan yang tidak boleh dilalui dan kita memerlukan bantuan daripada pihak terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN