RM25,500 jadi rebutan pada surfcasting Tanjung Harapan

RM25,500 jadi rebutan pada surfcasting Tanjung Harapan

tanjung harapan
Tanjung Harapan, Klang yang akan menjadi lokasi Surfcasting Tanjung Harapan Challenge 2025. Zaiton Ahmad (gambar kecil).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG:  Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,500 bakal menjadi rebutan ratusan kaki pancing dari seluruh negara menerusi pertandingan Surfcasting Tanjung Harapan Challenge 2025 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di pesisir pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Pertandingan yang dijadualkan bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Kail Kota Events, dengan sokongan Tourism Malaysia, bersempena kempen Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025.

Jurucakap penganjur, Zaiton Ahmad berkata, acara ini bukan sekadar sukan memancing, malah merupakan platform penting untuk menaikkan Tanjung Harapan sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan berasaskan aktiviti luar.

“Tanjung Harapan mempunyai potensi besar sebagai lokasi riadah keluarga dan aktiviti komuniti. Melalui pertandingan ini, kita bukan sahaja menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat, malah mempromosikan keindahan semula jadi dan daya tarikan pelancongan Klang,” katanya.

Hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 disediakan untuk juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM1,000. Tempat keempat hingga ke-10 pula akan membawa pulang RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150, dan tempat ke-21 hingga ke-100 membawa pulang RM100 setiap seorang.

Yuran penyertaan hanya RM70 untuk satu joran (dua mata kail), dan 400 peserta terawal akan menerima t-shirt eksklusif percuma. Acara ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti tiga unit TV 32 inci serta pelbagai barangan memancing.

Menariknya, kawasan Tanjung Harapan sememangnya terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lokasi strategik untuk menangkap pelbagai spesies ikan popular.

Antara spesies yang sering dinaikkan termasuk pari, senangin, gelama, kerapu, sembilang, belukang, tetanda, duri, ketuka dan jenahak.

Struktur dasar laut berlumpur dan berbatu di sekitar pesisir ini menjadikannya habitat semula jadi bagi ikan-ikan dasar yang aktif, terutama ketika air pasang surut.

Pendaftaran awal akan dibuka pada 6 September (Sabtu) dari pukul 3 petang hingga pukul 7  malam, serta pada pagi 7 September (Ahad) dari pukul 6.30 pagi hingga pukul 10 pagi di khemah penganjur.

Selain memancing, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan pantai Klang, bersiar-siar bersama keluarga, menjamu selera dengan makanan laut segar dan bergambar di lokasi ikonik seperti Jambatan Pelabuhan Klang, mercu tanda maritim, serta menikmati panorama matahari terbenam terbaik di Lembah Klang.

Dengan penganjuran pertandingan berskala besar ini, Tanjung Harapan terus diangkat sebagai pusat rekreasi komuniti dan destinasi pelancongan baharu, sejajar aspirasi MBDK untuk membina Klang sebagai bandar beridentiti, mesra rakyat dan berdaya saing.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2667011, 017-6805934, atau 012-2846811. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN