KUALA LUMPUR : Pelakon, Riezman Khuzaimi, 55, mengakui pengalaman menziarahi pusara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang didakwa maut kerana menjadi mangsa buli merupakan antara memori peribadi yang tidak akan dapat dilupakannya.
Menurut Riezman, dia sebak sejurus sampai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Ubi, Mesapol Lama, Sipitang, Sabah, ketika melakukan ziarah baru-baru ini.
Katanya, dia gagal menahan sebak, seolah-olah arwah Zara Qairina sudah dikenali ketika dirinya masih hidup.
“Kebetulan, saya bersama Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Sophia Albarakbah berada di Sabah untuk mempromosikan filem Tembuni Berdarah.
“Jadi, jadi saya fikir mengapa tidak kita ziarah kubur arwah Zara di Sipitang.Apabila sampai di kuburnya, auranya lain.
“Belum nampak kubur, baru terlihat papan tanda tanah perkuburan, bulu roma saya sudah naik.Saya sayu dan sebak. Saya automatik menangis.
“Saya tidak pernah jumpa arwah Zara, tapi rasa macam anak saya sendiri. Rasa macam kenal rapat dengan arwah,”katanya.
Riezman berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan episod ke-27 drama Setia Itu Mahal di Kelab Darul Ehsan (KDE), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Riezman atau nama sebenar, Mohd Rizman Mohd Khuzaimi memaklumkan lawatannya ke pusara sebagai solidariti buat Allahyarham Zara.
“Saya tidak akan berhenti menyokong dan bersama-sama dengan orang ramai terutama penduduk Sabah untuk memperjuangkan keadilan buat arwah.
“Pada usia ini, saya lebih cenderung kepada memberi kembali pada masyarakat.
“Saya mahu ambil peluang untuk memperjuangkan perkara positif sebab saya fikir bagaimana kalau perkara ini jadi pada anak saya,”ujarnya.- UTUSAN